Sunday, November 8, 2020

Hidup dan perjuangan

Hidup belum selesai dan perjuangan belum sempurna, dalam renyai renyai hujan aku berdiri, berharap semoga akan ada mentari dihujung jalan, mengharap agar ada malaikat yang sudi menyambut tangan, disaat jatuh dan terduduk nanti. mungkin kerana aku bukan lagi sesempurna dulu. atau mungkin menuju sesuatu yang belum pasti. sepertinya, hujan hujan akan terus turun, dan mentari tidak akan muncul buat seketika, tapi hujan ini satu hari akan berlalu, dan aku yakin mentari akan jua muncul, dan aku akan bersiap untuk kedatangan hari tersebut.

Jalan jalan menuju mimpi, tidak seindah pelangi. bila mana mentari tidak muncul mengiringi. dan jalan jalan menggapai bintang, bukan selalu terang disuluh bulan, jalan jalan menuju bintang membutuhkan kegelapan, supaya cahaya bintang itu bergemerlapan. Dan bukan kehendak aku untuk dibiar senggeta menjadi cahaya, cuma aku berharap agar, ada mentari akan muncul dihujung harapan. Dan harapan ini, tidak hancur, selagi mana ada cahaya dari Tuhan.

Kalau kau terasa penat, berehat. Bukan berhenti menjadi yang tewas tanpa arah. 




Saturday, October 31, 2020

gelap dalam cahaya

terima kasih buat semua yang mengiringi, tapi aku masih terasa kegelapan dalam cahaya benderang. mungkin juga aku terlupa akan gunanya satu dua tiga untuk mengira, atau sering terlupa menjadi setia dari terus menadah untuk dikecewa. oleh suatu kepercayaan karut marut. dan hati hati itu sedang mencari tasik tasik untuk berehat, tepi dan tenteram. atau sebenarnya cuma sepi dan ditinggalkan. dunia.

Hanya pada nama, terasa seperti mimpi-mimpi.



Wednesday, October 28, 2020

sesat dalam perang padi-padi

dimana silapnya kita.

kerana bukan kerana kita lupa, atau jauh sekali alpa. Minda dan laku tampak selalu seiring. tapi mana silapnya KITA. Dimana lagi silapnya kita, ketika mata masih kabur melihat suasana, sedang mentari jingga cerah mencurah cahaya. Jadi dimana lagi silapnya kita ini. Mulut tidak selalu berkata nusta, apalagi menggoda sang usia, menjadi keping keping terbengkalai. Jauh dari segala sedar. jauh dari segala. Jadi mana lagi silapnya kita. Bilamana setiap usaha untuk menjadi terbaik, selalu gagal dan terbengkalai. Bukan mudah. Atau kita ini selalu juga menjadi baik hingga lupa untuk menjadi yang kejam. 

Dimana lagi silapnya kita bilamana selalu tersungkur terpuruk di penjuru dusta. Muda ini bukan mudah. membongkak dalam keadaan tiada apa apa. dimana lagi silapnya kita. Dimana lagi silapnya kita ini.

Adakah kita ini, tersesat dalam rumpunan padi padi keperangan. mencari jalan keluar dari suatu hidup yang mencengkam. hidup yang kita temui, jauh dari realiti. dan kita masih mengharapkan sesuatu. masih mengharapkan supaya padi padi menjadi putih dan langit kekal cerah.





Friday, October 9, 2020

pepadi keperangan

senjata palig tajam adalah kata-kata.

H'idup. mungkin aku tersilap dalam perumpamaan dan mengumpamakan sahabat seperti lilin adalah tidak tepat. aku mungkin tersilap dalam menentukan hitam dan putih dalam cahaya yang sedikit.. malap dan alpa. terus kita terus menjadi begini, terkurung dalam penjara hati. tidak bebas lagi seperti dahulu. barangkali kau lupa aku juga manusia. tiada pendinding dalam memilih kosa.

I'ndah nian di ufuk barat. terus kita menjadi begini. memandang sudut berbeda dan tidak berusaha meng elok atau menjahit luka. parah kita yang tahu. dan aku juga sakit dibiar begini. tanpa pengertian yang tidak berpenghujung. Mungkin juga kita ini mangsa keadaan.

D'alam kepentingan yang aku susun, tidak sedikit untuk menhilangkan makna setiakawan. kekadang aku cuma lemas dalam keadaan yang ada. Ya terlalu banyak baik nya kau, dan kita cuma nya begini. 

A'pakah disetiap baris baris kata yang aku susun, tiada lagi kemaafan.

Y'ang terabadi dalam kenangan kita.

A'tau kita

H'anya harus selamanya begini. Nanti satu hari kau akan sedar. Di sebalik ayat, ada rahsia untuk kita mengerti.

Friday, May 1, 2020

menjejaki makhluk hujan

mungkin kita terlalu merindui mentari hingga lupa nyamannya bunyi hujan atau mungkin kita lupa teriakan anak kecil dulu, hingga segala rasa yang lama hilang. bermula dari situ.

dua minit sebelum sebelas, jejak jejak hujan berteriakan di hujung alam, mengemudi segala alam selaju cahaya. lalu menjarak antara dua kota senggeta. Lembut dan mendamaikan. Sesekali bunyi jejak nya bagai kiamat, kerana takut akan penghujung itu pasti. menjunjung segelas awan dan hidup menjadi indah lucu bila manusia lagi suka bercakap dari mendengar.

Bilamana hujan turun, bunga bunga tulip mengindah di hujung taman, dan pedang pedang lama yang menggilap tiada lagi tajam. terus bunga itu mekar di hujung padang, menjadi wangian yang terharum dari segenap dimensi. Segenap sejarah yang terangkum akan menjadi buku buku di rak usang, yang akhirnya hancur dianai anai masa. Lihat dan dengar.

Aku belum mahu kembali ke realiti bila mudah untuk menjual jiwa untuk jiwa bila duit tidak lagi berharga. 

Hujan yang turun membawa air menjadi lumpur, maka sayang bertukar benci. tidak bagi sesetengah. Menarilah makhluk makhluk hujan bilamana hujan turun, bersuara bilamana bunyi tidak lagi berguna. Bersuara bilamana yang lain tidak mahu mendengar. Bersuara dari bunyi bunyi asing bagi telinga. Mudah untuk membeli jiwa bila duit tidak lagi berharga. Untuk pertukaran, jiwa mahkluk hujan telah senangnya dibeli tanpa pedang tajam dan logam bulat. Membutuhkan hanya damai damai yang enak sekarang. Mungkin lumpur ini menjadi saksi.

Makhluk hujan itu berpuak puak. Sekarang ramai seketika sedikit. ada putih ada besar.  Hujan makin sedikit, aku perlu habiskan cerita. Suara makhluk hujan itu kuat dan besar, hingga yang dengar menjadi pekak, yang pekak menjadi bertambah pekak. Dan jejak jejak mahkluk hujan bukan untuk diikut, kerana yang benar benar faham tidak perlukan contoh. Kerana lagu yang sesempurna manapun, bukan untuk si pekak. Lukisan yang secantik manapun bukan untuk sibuta. 

Menarilah bersama hujan.





Monday, April 27, 2020

Warna warna mimpi

terbang antara awan, disitu kau jumpa aku sedang bersimpuh menanti hujan turun. takkala embun pagi membiaskan wajah, disitu aku lena dibuai semalam. Aku tahu ini perit tapi begitulah hidup, hanya selapis nyawa antara mimpi dan nyata. Saat mata terpejam, suara yang tinggal manjadi gelombang mimpi, ada masanya saat aku rindu nanti, aku datang. Andaikata aku tiada lagi hadir anggap aku sudah ketemu bahagia disana.

segala kata kata yang terbit, umpama peluru membaham hati. terus ke pelusuk paling dalam. membiarkan hati mati berganti usang. Walaupun berbeza. Warna warna mimpi yang diharapkan cumalah hitam dan kelam, menanti merah biru, biarpun zahirnya berbeza. Warna-warna yang tercengkam dibalik mimpi ini, hidup dan membangun jiwa yang gagah. Secantik tulip di tasik lama.






Saturday, April 25, 2020

Darah dan runtuhnya istana Andalus

matinya berkibar di bawah bendera keyakinan.

beri aku sedikit lagi waktu untuk kembali ke Al hambra, berlari memperingati sebuah hidup dibawah raja agung dan saat-saat Roh ini jatuh. Sekembali dari perjuangan kejujuran dan setia yang lemah, Tuhan ampuni kita dan setiap bangsa yang tewas hingga dihentak lantai nya dan diperdengarkan loceng-loceng kufur yang dahulunya bergema laung agung. 

Mana lagi lagu pengkhianat yang kita harus dengar supaya kita sedar akan keruntuhan itu. Sebuah kerajaan agung yang dulunya mengembeling setiap Roh kitab menjadi penguat bangsa kini letih dan terpinga-pinga dalam benua yang ingkar. Tersesat dan lupa akan jati diri sendiri. Atau mungkin kita telah hampir lupus sikap sikap bangsa yang gagah itu.


Thursday, April 16, 2020

Princess of Antares

fundamental bagi hidup adalah bernafas. berupaya menghirup udara. bagaimana kalau aku khabarkan hidup bukan setakat itu?

Erti kelembutan telah terlahir bersama-sama dalam nya. mendukung jiwa jiwa yang sunyi. Dimana masa mencemburui akan hari itu, kalau bisa terkhianati, tak kan cukup segala sisa sisa saat yang ada. penuh diri nya akan suatu rasa, kasih sayang sesama penduga. Kerinduan dari dunia yang berbeza.Dihari kelahiran nya, alam seumpama sempurna. Segala kejadian menyaksikan keindahan yang terucap, umpama bermadah yang masih tiada. Hilang segala rasa curiga, lahirnya menjadi pengikat antara dua rasa. Teruskan menulis bicara ini.

Memandang ke langit yang gelap, aku yakin kau juga sama, menanti aku disana.




menjenguk peradaban jiwa

berdiri memjenguk peradaban jiwa, dalam kekalutan silam yang masih membelenggu. hidup ada dalam nafas yang terhinggap di gedung masa. letih akan penungguan usang dalam madah madah ringkas yang terselimut hampa. lantas duduk barang seketika di buntut nafsu, reda amarah yang terlepas ini. aku telah lelah.

membendung jiwa yang lara, harus terus hidup sedang hati masih patah direnyuk sisa sisa lepas. kata kata khas hanya untuk membaik jiwa tidak lagi ada yang tersirat dan terlopong memandang aksara aku hanya menulis dari jiwa yang beralun, membisik nada nada puitis yang bergelombang dari dalam, hanyut mengikut alunan muzika itu. biar biar biar aku biar.

melankolik kata mereka.

dalam termenung aku melihat mereka. melankolik kata mereka. tersadung dalam hidup yang tak pasti, melankolik kata mereka. sedang natural nya kita hadap sendiri. kalau manusia itu bisa pupus, jangan ditanya sebabnya. kerana jiwa yang kosong itu tiada ubat walau mengisi air ke dalam telaga. melankolik kata meraka. Melankolik apa kalau sengsaranya kita rasa.


Sunday, March 22, 2020

paripari tersesat dalam dunia manusia.

harapan yang membusuk umpama bangkai. dihurung lalat dan gagak, menunggu masa menjadi baja. dan hidup umpama terhenti dalam jangka waktu antara siang dan malam. untuk apa lagi harapan jika jiwa jiwa terus kosong, untuk dibawa mengadap nya. aku umpama reriang bercahaya cantik tapi cuma serangga. sampai masa menghuni penjara manusia, atau mati didesa perawan. 

Lihat dan rasa, lembut bahasa ini ada nilainya. kau tahu aku begini dan kau tahu aku akan terus begini, dan harapan yang tinggi itu, umpama syurga pendosa. reyok lembar lembar kertas yang banyak ini, tidak akan mampu melunas hutang penjara. tersangkut dalam dunia manusia yang kosong, aku juga mahu kembali. jika harapan telah kabur buat apa aku terus menggali.

musim berjiwa telah lama terhenti dalam cerita ini. 





Wednesday, February 26, 2020

hujan yang datang

aku tenang melihat hujan datang membasah kota damai ini, selepas kemarau yang panjang. aku tenang sekali merasa angin ini, dalam jiwa anak kecil itu. menghidup kembali harap dan kasih. aku tenang sekali memanjat dua tangan syukur pada Tuhan yang Esa, kerana anugerah hidup yang masih ada. Lembut angin ini yang bak sutera membelai kulit bangsa. Setelah berkurun dalam masa penjarah, kita masih kekal teguh berdiri. Aku tenang sekali merasa udara ini, terus menerus membelai suasana, tenang dan damai. Aku tenang sekali melihat hujan ini, datang ke kota damai bawa seribu lagi harapan baru, setelah nusa ditekup lemas dalam mimpi semalam.



Sunday, February 16, 2020

antara dua dinding mimpi

tentu Tuhan pun tahu yang kita sedang menderita.

mana lagi harus aku cari ketenangan dalam dunia yang kalut ini, terus diseksa dan dilantun dalam maya yang tersorot dihujung mimpi. nah kita terus menyusun kata-kata walhal kita ini cuma manusia. harusnya kita hanya mampu berkata. Dihempuk oleh awan yang luruh pun, kita ini hanya mampu melihat. dari sudut mata dua, kita tetap kita. kudus dan tetap lemah. mana lagi harus aku mencari ketenangan jika jiwa harus terus memberontak dipalit rasa gundah, kabur dan terus hampa. Mana lagi harus kita mencari ketenangan Apa perlu antara dua dinding mimpi itu? yang bukan kita penguasa.

beri aku sedikit lagi nafas berguna, bukan mimpi mimpi kosong lagi, bagi aku bisa merentas lagi mimpi mimpi itu, terbang bebas bukan lagi mimpi lama yang terbiar. bagi aku dia yang bermimpi, bukan sang pengejar lara. antara dua dinding mimpi itu, aku tahu aku lihat dia. tersenyum dan menawan. terhinggap oleh rasa nyaman, redup dan aman. dan bukan kita ini sang penguasa, untuk membeda beda suasana, kerna kita cuma sang pemimpi. 

Tuhan biar aku bisa merentas antara dua mimpi lagi. 


Thursday, February 6, 2020

Teman aku ke bintang

malam ini teman aku ke bintang, bawa segala ayat yang indah dan kalungkan di leher aku. biar semangat untuk hidup ini kembali. biar segala lelah dan susah ini padam sementara, dalam limpahan cahaya bintang itu. biar esok aku bisa untuk terus berdiri, mengadap dunia.

pandu aku ke rumah langit itu, yang dindingnya dari kepul kepul awan tebal, agar tiada lagi aku dengar berita susah dunia, agar aku bisa hidup bahagia selalu dalam mimpi ini. biar lelap mata ini biar redup mata ini, untuk itu aku begini.

basahkan aku dengan impian. dari carik carik kertas lembar kapal terbang ini. kita susun kembali menjadi warkah, impian dari si kecil yang mati. dari jiwa jiwa yang tulus menyinta. hanya untuk mengenal bahagia. harus kita terbang ke lapis langit yang tertinggi, menggapai jiwa anak kecil itu, terus tangan gugur genggam se erat apa pun. dan kita boleh hidup begini saja.

teman aku ke bintang itu yang jauh. disudut angkasa yang paling jauh. disudut tiada lagi semalam. biar kita terus terlewat dari masa, kerana kita hidup untuk kita. akan kita kutip bunga-bunga menjadi taman taman kita, dari segenap limpahan daun dan kita susun menjadi tempat berehat yang permai untuk kita, dalam impian yang segar dan tumbuh mewangi selaman. selama mana hidup tiada budi, kita terus layak menjadi burung. bebas dan gembira.

hanya teman aku ke bintang yang jauh itu.

https://en.wikipedia.org/wiki/Death_of_Alan_Kurdi


Wednesday, January 22, 2020

menjadi syaitan yang pemaaf

hari ini cerah seperti biasa, cahaya melitupi awan bejalur-jalur jatuh ke rerumput sawah lama. terbit dari segenap penjuru, limpahan udara baru, sejuk dingin. lembaran semangat baru buat pesawah itu. 

10 tahun lalu, jiwa pesawah itu dirobek takdir, ditakir hatinya hingga hancur, tak tercantum lagi. Dari segenap hati itu, wujud tiada lagi rasa belas, pada insan. menjadi syaitan menjadi malaikat, menjadi syaitan yang pemaaf.

Dilembah sawah ini juga, sekujur badan terbaring rebah lesu menatap mentari, dirobek badannya, ditepis batas lumpur air sawah yang dingin, biar aku pergi, sendiri. Merah membasah sebati dalam peluk udara dingin. Malaikat tiada lagi atau bolehkah sekadar rerumput ini menjadi saksi.

Enak menjamah kenangan redup mata membayang nasib. Helah apa ada lagi, untuk dibohongi hati. Supaya tenang dan gembira yang sementara, terang dan benderang, cahaya itu moga ada lagi.  


Monday, January 20, 2020

menjadi manusia paling kuat

menjadi manusia paling kuat itu adakah harus membutuhkan makan muntah hantu?
menjadi kuat itu harusnya tegar menghadapi hidup yang sukar dengan berlapang dada.

bukan kisah manusia biasa, kita punya setiap cerita, yang harus ditenun menjadi jalan kemudi hidup kau harus kuat, kerana yang kuat itu yang hidup, dan kau telah lama kuat, kenapa sekarang kau mahu lemah. Menjadi kuat itu sukar. menjadi lemah itu lagi sukar kerana yang lemah itu menjadi mangsa, yang kuat menjadi yang berkuasa. jangan dilihat yang lemah dalam diri itu bebanan, tapi kuasa Tuhan memberi kelebihan melalui kelemahan.

Kawan, yang kuat itu bukan yang menghembus laut bak ribut kencang membadai pantai hingga hancur segala, tapi setenang langit yang tenang melindung manusia. Kawan, jika kau lemah, jadi apa kau.





Saturday, January 11, 2020

Akta hidup

melihat ke dalam hati, terdengar suara suara sayup memanggil. dari kejauhan datang mencari sesuatu, suatu ilusi dalam realiti yang pahit, telah berlalu awan biru cerah bersambung duka dalam jiwa yang parah. bersambung segenap kisah menjadi cerita, indah dalam kalam kata. bernoda aku dalam kisah kisah lalu, terlena seketika terpana dan terduduk biar aku begini selama masa kerana usia kau aku juga sama.

Di lembaran ini, jiwa harus tidak gentar. menempah hidup biar tidak gusar, berputar dalam roda darma wijaya. hidup bukan mengembeleng jiwa tapi membajai rasa. Kita ini cuma nya manusia, mana bisa hidup menjadi raja, didalam hidup menjadi raja. kita ini cuma manusia. kerna hidup tiada perlukan raja. kerna hidup perlukan rasa. Gugup jiwa ini, tiada lagi takut akan masa, kerana masa itu berputar pada paksi dan aku hidup pada paksi. tiada letak dan tiada ruang hidup dalam fungi sendiri.

Sempurna hidup harus punya ciri, ciri hidup harus hidup dan harus sentiasa mengerti akan pentingnya untuk hidup. Kau harus hidup untuk mengerti setiap apa yang terjadi. Hargai hidup dan terus bermandiri. Selebar lebar kain punya tepinya. Sehijau hijau daun, akan jua menjadi debu. Hiduplah dalam kehijauan dan debu itu.