Sunday, October 4, 2026
Tuesday, May 5, 2026
Mengisi Jiwa
Aku cuba mengisi jiwa yang kosong. Setelah segala rasa telah aku luah di tubuh ini. Setelah segala rasa sayang itu cuma menjadi sia sia di keliling rasa durjana. Dikeliling segala rasa itu, yang kau simpan, yang kau juang, yang kau kata perlu, kau buat perhitungan jiwa dan demi Tuhan aku ambil semula, segala rasa itu.
Dan tubuh ini, yang dulu padang bahagia, telah kau biarkan terluka dengan segala derita yang pekat melarat untuk aku simpan. Iya.
Senang kasih mu kata senang. Simpan kasih mu kata simpan. Setelah dengan segala rasa yang aku beri kau henyak hingga terperosok di penjuru cemburu.
Untuk aku yang merasa segala kekecewaan ini, terima kasih atas ajarmu. Kecewa aku kecewa.
Memahami Bahasa Langit 2
Sunday, December 14, 2025
Bercerita
ada antara nya cerita yang ada, aku tak bisa susun dan bercerita kerana ada kekangan.
lama aku mencari kata-kata yang terselindung, bilamana tiada sahabat bercerita, disini juga aku berpencak jari jari lagi lagi bilamana mulut membeku dari segala sunyi dan sepi itu. barangkali ada dua tiga cerita yang dekat dari hati tapi aku sukar untuk dimengertikan sendiri. atau mungkin cerita yang ada ini, lebih baik disimpan dari diluah, tapi telah dan masih berat.
ya bukan aku meminta izin untuk berdosa dan hanya cuba merasa beban itu. walaupun cukup panjang sekali waktu.
takpa.
Sunday, May 25, 2025
Makhluk Gegelung Masa
menyelongkar bunyi asing dalam minda yang yang berkecamuk. meneruskan setiap baris baris patah yang terhidang dalam mata hati. mungkin masa yang tersisa bakal aku kalamkan dengan lebih cermat dan berhasil.
Antara satu yang terukir lembut pada dinding sejarah, tentang satu hidup dalam gegelung masa.
Susah aku ingin melakar kalam ini, jika mana si penjaga masa sedang meneliti setiap baris.
Bukan aku seorang. Bukan aku seorang.
Aku bukan cuba mahu menghimpunkan segala amarah dalam satu bahasa mudah, dan bukan mahu meneliti bahasa mudah menjadi satu madah. Susah memang susah.
Cukup dulu.
Tuesday, June 27, 2023
Memahami bahasa langit
menyambut tangannya yang dingin dikala suasana masih terus cemburu. dalam sarat-sarat bicara, terlopong menggaris seribu helai kata, bak harus dimengertikan semula, segala kata-kata dulu yang telah sarat menjadi sisa. Dan sisa sisa menjadi memori yang tak mungkin larut.
cuba memahami bahasa langit, dalam karya tinggi yang unik sukar untuk kita mengerti. atau harus kita belajar atau harus kita belajar lagi, dengan pena dan dakwat dengan kertas dengan guru, antara dosa antara pahala. kita pun bukan apa, sekelumit debu menjadi hama. larut dalam malam.
Saturday, January 28, 2023
Meleret awan putih
Kalau aku boleh habiskan lukisan dalam ayat ayat yang senang untuk kau faham, wahai jiwa. ayat yang kau akan faham dan faham dan faham. Atau perlu kah aku meleret awan putih untuk sekali lagi bercerita buktikan betapa aku mahu kesana, mahu menggemudi rasa yang tidak senang ini dan jiwa jiwa yang membuas bagai singa.
Aku tidak punya segulung awan untuk itu, tidak pula aku punya secarit kenangan membalas serangan jiwa yang memberontak. dari tinggi tinggi puncak awan sana, aku tahu kau sedang memerhati. Dari segenap celah langit, kau memerhati dengan segala rasa, tapi aku tidak punya kefahaman pula tidak punya rekayasa yang panjang atas minda yang luas.
Awan putih yang tinggi dan terang itu juga. Masih dalam dakapan Tuhan. Manakan bisa aku mengadu duga pula.




















