Saturday, November 8, 2014

Ribut di laut

Semalam kita belayar ke tengah laut, mencari bukti yang laut itu air. tapi hari ini kita tersesat sendiri hingga hanyut ke tengah tengah. sehingga kita lupa tujuan sebenar pelayaran. kita manusia yang bongkak menidakkan hukum. kita si pengait yang sibuk meluruskan benang hingga lupa menyiapkan walau sepasang baju. Kita ini si raja yang ingat pada manusia sedang lupa pada si Dia. dan kita masih manusia.

Malaikat semalam tersenyum di jendela. senyumnya indah. manis dan menawan. tapi sayang, senyumnya itu tidak dibalas manusia, kerana manusia sibuk meluruskan benang. entah sampai kemana benang yang hendak diluruskan. sampai ke langit atau turun ke lembah. bencinya tidak mampu lagi dibendung, mungkin kerana itu ada ribut di laut.

esok akan datang lagi matahari. dan malaikat akan terus tersenyum untuk esok.

Sunday, November 2, 2014

Tanah Lapang

Tanah lapang yang kita pijak ini bukan milik kita tapi milik orang yang punya kuasa. Orang orang yang ditakdirkan untuk punya kuasa di dunia dan menjadi raja di mata manusia. Kita ini apalah punya hanya hati kosong dan sebidang tanah yang lapang. Esok lusa tanah ini akan terjual atau tidak pun dinaiki lelalang dan senduduk. Dunia ini bukanlah milik orang-orang yang bisu dan pekak yang menjadi hamba si pendengar dan punya cakap cakap. dan kemudian menjadi kapal yang hanyut di tengah laut laut yang isinya adalah wang.

Tanah ini yang kita jejak bukanlah seindah hijau rumput atau secoklat dedahan humus yang jatuh tertumus menyembah bumi tapi seperti awan awan yang gerhana dek sayap burung bernama cita cita. Kadang kadang cahaya nya menghapus segala kuasa magis dalam imaginasi lampau. Kadang kadang menjadi sisa sisa setiap jiwa yang meronta mengharap pembebasan. pembebasan dari sangkar ilusi.  tidak wujud tapi nyata.

Tanah ini luasnya sangat jauh dan besarnya sangat lebar. Sehingga tiada mata yang mampu melihat lagi. Sehinggakan sayap si dewa itu patah berharap semoga jarak mu ini di singkatkan. Di tanah lapang ini, sayup sayup kita mendengar doa doa si pendosa supaya dosanya diampunkan dan waktunya dipanjangkan. Di satu sudut tanah ini kita melihat si pencari jalan dan lorong untuk menerobos ke seberang sedangkan dia tersilap jalan kerana luasnya tanah lapang ini. Sementelah tanah lapang ini masih luas untuk diteroka dan untuk teruja. 

Esok kita akan meneroka lagi tanah lapang ini dengan parang dan belati. Kalau kalau ada musuh yang mencabar dan gaduh yang tidak sabar. Hakikatnya kita sendiri takut kalau kalau kita tersesat dalam tanah lapang ini. Kita tidak lagi mampu keluar dari tanah ini yang talinya disangkut pada langit dan kita hanya patung patung kayu buatan orang biasa. Tanah lapang ini sentiasa berbisik dan mengarah.

Dan Tanah Lapang ini ialah hati.

Tuesday, October 28, 2014

Sepenuh Jiwa

Orang yang berjaya itu melakukan sesuatu dengan sepenuh jiwa mereka yakni siang malam benda yang mereka lakukan itu akan diingati semasa meraka makan tidur mandi dan bercakap. Itulah benda yang melengkapi hidup mereka sekian lama. Kita orang biasa kebanyakannya melakukan sesuatu mengikut keadaan dimana kita kalau bersama kawan kawan kita akan bercakap tentang benda yang mereka sukai dan lama kelamaan kita menjadi seperti meraka dan tiadalah lagi rasa berbeza dan istimewa. Seharusnya untuk berjaya kita harus menjadikan apa yang kita buat menjadi sebahagian dari hidup kita. 

Orang yang hebat itu menjadikan nafas mereka adalah sebahagian dari subjek atau tajuk apa yang mereka buat. Setiap orang yang berjaya itu melakukan sesuatu dengan penuh semangat dan bertenaga dan selalu tersenyum ketika cabaran menerpa mereka. Orang yang hebat itu akan merasa seronok apabila cabaran hebat itu menolak mereka ke belakang sedang mereka semakin kuat seperti pohon yang menahan kuatnya ribut. Orang orang inilah yang dijanjikan hidup yang indah dan berjaya. Orang orang ini akan suatu hari berdiri di kalangan manusia manusia lain yang mana mereka tahu, mereka selangkah dari manusia biasa.

Untuk menjadi hebat, jadikanlah apa yang kita buat itu separuh dari jiwa kita dan hidup mati kita adalah untuk subjek itu. Jadilah yang hebat.


Saturday, October 18, 2014

pelarian masa

Situasinya kita sedang seronok berlari mengejar sesuatu benda yang kita tak pasti apakah ia. Sedang benda itu kadang kadang kita rasa cukup mahukannya tapi kita sebenarnya tidak perlukannya. Dan kadang kadang kita rasa yang kalau kita tidak berlari dan hanya berjalan pun, kita akan tetap mendapatkanya. sama seperti apa yang telah ditakdirkan untuk kita. Atau aku mungkin tersilap.

Suatu dari kita kau aku adalah pelarian. Pelarian masa silam dan pelarian masa hadapan, Kita hidup di dalam ruang lingkup masa yang sempit dan menyempit dari saat ke saat. Kita adalah pelarian yang mencari masa hadapan dalam suatu pengertian yang punyai erti. lebih. Kita sedang berlari dari masa silam kita yang punyai dua ruang lingkup, pertama masa dimana keputusan di tangan kita dan kedua masa dimana keputusan di tangan takdir. Sejak kita matang sehingga kini, kitalah yang membuat keputusan dan kita pelarian masa itu. Dan dari kita zaman kanak kanak hingga ke belakang, sebelum kejadian, hidup kita di tangan takdir. dan apa yang ada dimasa ini bukan kuasa kita. 

Masa ruang lingkup pertama begini, kita terlalu perit dihambat masa. Dengan segala silap perancangan, atau mungkin kita tidak punyai perancangan langsung, kita memilih untuk berada di kalangan mereka yang gagal, atau gagal dalam satu sudut. dan kehidupan punya banyak sudut. Sesetengah orang menilai sesuatu melalui satu sudut. sudut pemikiran yang mana mereka tahu mereka betul, padahal sudut itu iaitu sudut pandangan mereka, kalau mereka sedar atau tidak, sudut itu ruang itu semakin mengembang dan membesar. oleh itu, pemikiran baru diterjemah dan keputusan baru diperoleh berdasarkan ruang yang baru. kerana itu kadang kadang, A yang kita punyai hari ini, mungkin tidak lagi menjadi A yang akan datang. Kerana sudut pemikiran manusia semakin berubah. Namun agama tidak berubah, secara total. Agama adalah seperti paku yang ditekan pada suatu kain di dinding yang sangat luas, supaya kain itu tidak jatuh dan tidak terbang jauh, dan kain itu adalah pemikiran. Tapi manusia yang sombong telah membuang paku tersebut dan pemikiran mereka seolah olah menerima apa sahaja.

Berfikirlah seperti orang yang terdahulu, punyai istana ilmu yang luas dan tinggi dalam kehidupan yang kita sebut sebagai pelarian masa.



Saturday, October 11, 2014

Tanah Tinggi

Seekor burung yang terbang di langit tidak akan tahu dia terbang tinggi sehingga dia kenal tanah di bumi, kerana dia sedar bahawa ada yang lebih tinggi dari langit. Dan ia tidak akan tahu cantiknya gambaran bumi dari langit jika dia tidak berani terbang tinggi. Seekor burung yang terbang bebas di langit tidak akan menghargai kebebasan yang dia peroleh jika dia tidak tahu peritnya berada di dalam sangkar.

Aku tidaklah mahu hidup dalam sangkar yang penuh dengan pendustaan dan kejelekan pada sebuah kebenaran. Walau kadang kadang ada juga yang terlepas ke langit. Namun cita cita itu tetap ada.

Kenapa kadang kadang kita rasa seolah olah didustakan oleh keadaan bahawa yang berjaya itu dilahirkan untuk berjaya dan yang miskin itu dilahirkan untuk miskin sedang kalau takdir itu ditentukan oleh Tuhan dan bukan manusia. Mana yang kita tahu bahawa kita layak untuk takdir sebegitu sehingga lupa yang doa dan usaha boleh mengubah takdir. Esok ini aku ditakdirkan untuk bangun di pagi hari menghirup udara segar dan nyaman merasa enaknya kopi dan roti. Namun malam ini takdir aku berubah kerana aku akan mati beberapa jam lagi. bagaimana takdir yang pertama akan mengatasi takdir yang kedua sedang takdir yang kedua secara hakikatnya mengatasi yang pertama. takdir sangat tergerak dengan sangat misteri kerana Takdir itu hak Tuhan bukan manusia, kalau sekalipun manusia berusaha untuk berada tinggi di tengah gunung, jika takdir dia hanya bersila di lembah, dia tetap akan ke lembah. Kita manusia ditakdirkan untuk GAGAL jika tidak berusaha. Tiada siapa yang boleh berjaya tanpa usaha. Itu fakta. Tiada otak yang berani menidakkan hal ini. Kalau doa itu satu usaha bermakna, manusia itu sendiri yang menentukan takdir mereka. Dan Tuhan hanya memberi kepada mereka yang berusaha. Layak berusaha.

Kita berdiri di satu dataran yang sangat tinggi dan luas. Tujuh warna langit yang bergemerlapan sedang menanti kita di hujung sana. dengan setiap helai helai sutera yang lembut dan sangat bersih menanti disetiap lapis. tiada yang setanding nya. Kita sedang bertahan dengan satu hakikat yang usaha bersungguh akan membawa kita jauh. Dan kalaupun kita dijadikan untuk menjadi sial, Tuhan itu maha Pengampun dan Pengasih pada makhluk sehina manusia. Yakinlah aku.

Sedang kita masih menghirup udara yang membinasa dan cahaya yang membutakan. Dia tahu.


Sunday, September 28, 2014

Hai anak

hai anak, kita ini orang sederhana. bulan mentari bukan jaminan kita jangan baru terhantuk baru nak tengadah. Kita ini bukan pemilik astana mulia yang disanjung manusia yang ditindas pemikirannya. Kita ini bukan si penyelamat yang dilahirkan untuk menyelamat. Bukan juga si pembonceng kata kata manusia untuk dijadikan modal hidup. dan kita memang tidak perlukan modal hidup. Untuk merubah takdir. Kita bukan lah si pemilik segala putih putih awan dan biru biru langit. yang mampu memberi cahaya indah pada manusia dengan cahaya yang mengkhayalkan.

Hai anak, kita ini bukanlah sipenulis puisi syahdu. Untuk dimengertikan oleh manusia dan bukan juga sipenulis buku untuk menyesatkan lagi manusia. Kita ini bukanlah si penyair jalan jalan ego, yang mahu menjadi dikenali dan mengenali yang layaknya di atas jalanan hitam dan jatuh nya kemudian dilumpur. Kita bukanlah sipenduduk bukit "Pulau Untuk Taik taik Ruh, Angkuh Juga Asyik Yang Alpa". Memimpin umat mim ke jalan buntu. atau jalan si fasik.

Kerana kita ini orang sederhana hai anak dan kita bukan boleh berdiri megah dibukit itu.

Saturday, September 27, 2014

Menjadi Anjing

Aku sudahlah terlalu penat menjadi anjing, betapa segala usaha yang dibuat untuk memanusiakan diri sendiri akhirnya terbenam dalam lumpur yang pekat. aku sudah penat diherdik, dijadikan manusia lain, dipaksa menjadi patung, dihentak kepala dari dalam, dibunuh secara visual dengan taktik pembunuh upahan. walau dari jauh nampak segala cahaya, kekadang yang gelap disebalik cahaya itu kita tidak nampak. Aku sudah penat mencari segala pengertian hidup, siapa dan kemana. kadang kadang tersesat dengan segala baju putih dan bunga bunga yang menjanjikan hidup abadi bahagia. Tidaklah aku mengharap yang lebih dari apa yang aku perlu, aku hanya tidak mahu menjadi anjing lagi.

Telah banyak jiwa jiwa yang kosong mahu diisi disini. walau aku tahu ia tidak akan penuh terisi. ya semalam aku terlena tapi bukan lama, semalam aku terbuai tapi bukan cuai, dan segala masa yang terbuai dan lena itu amat perit untuk digantikan. Kalau adapun penawarnya, mungkin terlalu jauh dan aku tidak mampu, kalau pun selalu hati ini menjerit untuk mendapat penawar walau dari celah bukit yang tinggi dalam lurah yang terlalu dalam.
Esok rasanya bukan esok yang aku tahu dan yakin. kerana anjing anjing diluar masih berusaha menjadikan manusia lain anjing sedang mereka mengaku mereka penghulu segala malaikat, si pemberi pahala dan dosa. Aku sudah penat menjadi anjing dalam dunia yang dipenuhi manusia dan malaikat yang terkoyak sayapnya.

Thursday, September 25, 2014

dalam kepompong

Kita mungkin hidup dalam kepompong kesenangan yang terlalulah lama sehingga bila didatangkan sedikit ujian untuk kita merubah cara hidup, kita menjadi lemas dan lemah. Atau mungkin kita hidup dalam kepompong kemiskinan yang selesa terlalu lama sehingga bila datang peluang untuk berubah kita merasa takut dan lemas. Adakah dengan melihat mentari, kita hanya merasa panas nya cahayanya atau kita menikmati kecantikannya. Atau di masa kita melihat bulan yang cantik di malam hari hingga kita lupa tompokan di permukaannya. Kita harus sentiasa sedar dan waras bahawa kehidupan kadang kadang amat perit dan pahit, kerana perubahan. Tapi kalau kita tidak memilih untuk berubah ke arah kebaikan, mungkin kita akan terus dibelenggu kegagalan. Ada pula yang berkata, untuk berjaya kita perlu gagal gagal dan gagal sehingga tiba masa untuk kita berjaya. Tapi kalau kita tidak belajar dari sudut yang kita gagal itu, rasa gagal itu akan terus membelenggu.

Rasanya dah lama kita diberikan hidup. Sehingga kadang kadang kita merasa lelah dengan kehidupan. Rasa ghairah untuk hidup seperti kanak kanak itu telah lama hilang dari kita. Mungkin kerana dunia wajahnya kejam dan memaksa. Kalau sekalipun kita tewas dalam perjuangan manusia, kita harus sentiasa tahu yang kehidupan memang tidak menjanjikan apa apa. Kalau dosa pun kita cari, semua itu bakal terjawab. kalau pun pahala yang kita susun, itu akan terjawab juga. kerana kehidupan dunia tidak menjanjikan apa apa. Kejayaan telah mencampur adukkan dosa dan pahala dan syurga dalam neraka. Walhal kesinambungan hidup tetap diteruskan samada dosa atau pahala.

Lihat matahari, tidakkah cantik cahayanya. Lihat pokok pokok tidakkah bercahaya warnanya. atau kau harus keluar dari kepompong.

Tuesday, September 16, 2014

air segala air

Mungkinkah kita terlalu dipengaruhi oleh pemikiran lama yang mengatakan itu tidak boleh dan ini tidak boleh sedangkan kalau segala keputusan syurga neraka dibuat oleh manusia, tentunya boleh saja kita menghukum dia dan dia ahli nya. tapi yang membuat keputusan itu bukan kita tapi Tuhan. Dan Tuhan ada dalam setiap diri manusia yang sedar dan hidup. orang kita terlalu cepat menghukum dan menidakkan apa yang mereka rasa tidak dan membenarkan apa yang benar sehingga lupa apa itu kajian dan telaah yang sebaiknya.

Pemikiran yang lama bukannya tidak boleh, tapi biarlah seiring dengan dunia sekarang.Tidak salah menunjukkan sistem lama itu betol dan tepat tapi salah jika kita mengatakan bahawa yang baharu itu tidak betul dan salah jika hanya mengikut sesetengah pemikiran tanpa mengira secara total. Manusia itu dijadikan bukan semata mata untuk berjumpa dan melihat mata antara setiap manusia tetapi lebih kepada segala perbincangan dan perkongsian yang boleh membawa kepada sesuatu yang lebih baik, meskipun keputusan yang diperoleh tidak sebaik mana, namun dengan segala perbincangan yang panjang dan konsisten, nescaya kebaikan yang diingini akan dicapai jua.

Kekadang kita rasa yang golongan muda ini membawa sesuatu yang tidak kena kepada golongan sesetengah. dan kadang kadang kita menggali terlalu dalam untuk tahu bahawa bumi ini terbuat dari tanah. kita mungkin kekadang tewas dalam lurah hidup dan lemas dalam jurang dunia yang sangat dalam tapi kita masih lagi hidup dan peluang untuk komunikasi sesama manusia masih ada. dan segala jadi yang telah dijadikan membolehkan manusia mengecap nikmat hidup yang belum pernah mereka kecapi. air segala air masih ada disana dan sentiasa ada. kecaplah nikmat kehidupan walau dimana kita ada.


Sunday, September 7, 2014

kalau bukan kita

kalau bukan kita, mesti orang lain yang akan merasa deritanya kehidupan dan mereka mungkin akan merasa hampa dan memutuskan untuk mati, tapi derita itu kita yang rasa dan kita masih hidup sehingga kini. Kerana Dia tahu kita kuat. Kalau bukan kita, sudah pasti segala kebahagiaan yang dirasa oleh orang itu menjadi milik kita nescaya ianya akan membuat kita merasa lalai dan terus lena dalam keasyikan hidup. kemudian kita hanyut dan menjadi manusia yang leka. Tapi tidak kita yang punya itu semua kerana Dia sayangkan kita. Kalau bukan kita, tentunya Tuhan menjanjikan kehidupan yang baik untuk semua manusia didunia dan menjadikan yang indah itu terlalu indah dan menghapuskan segala kesakitan dan kehampaan didunia sehingga manusia itu tidak lagi memerlukan syurga dan neraka.

Kalau bukan kita, sudah pasti sedikit derita yang kita rasa ini akan menjadi bekung dan nanah yang membengkak di hati yang lain dan lantas membunuh segala rasa mereka. Dan manusia akan menjadi makhluk yang lemah selemah lemah makhluk. Kalau bukan kita, sudah semestinya tidak akan terlahir simpati dan belas di hati setiap insan yang mana sangat diperlukan untuk kehidupan dan kasih sayang tidak akan terbentuk dengan sendirinya kecuali dengan siraman air dari hati manusia lain.

Pada kita kehidupan ini sangat perit tiada harapan dan tiada terlihat cahaya dihujung setiap jalan kerana cahayanya telah ditelan bayang bayang silam yang kita rasa semakin mencengkam. Dan kita tertewas lagi dengan harapan. Tapi bayangkan jika manusia sekuat kita ini terus diberi kejayaan tanpa sedikit halangan dan susah payah. Nescaya manusia seumpama kita akan bongkak dan tidak mengenal bumi. Kita ditakdirkan mengikut jalan yang jauh berbeda diantara kita, kita tahu jalan itu membawa kita ke matlamat yang sama iaitu kejayaan tapi manusia selemah kita ini mengira kejayaan dari sudut yang berbeza dari setiap dari kita.

hidup dan terus mengikut arus.mohon aku tidak tenggelam sebelum sampai ke hilir.

Friday, September 5, 2014

Wisel Padi

Satu dari kelebihan menjadi keluarga petani adalah kami tahu bagaimana untuk menghiburkan diri kami dengan menggunakan sebarang barang dan alatan yang ada disekeliling. Temasya wau bulan di siang hari selepas musim mengetam padi dan juga dikir barat di sebelah malam, itulah permainan orang kampung. Dan salah satu dari permainan orang kelantan dahulu kala adalah wisel padi. Ia dibuat dengan menggunakan batang padi dan alat yang diperlukan hanyalah pisau. 

Selalunya wisel padi ini dimainkan oleh kanak kanak selepas musim menuai sewaktu menemani ayah dan ibu mereka memotong padi di bendang. Ketika ayah dan ibu sibuk menuai padi, anak anak akan bermain dengan wisel padi mereka bersama adik beradik yang lain. Cara pembuatan wisel ini saya belajar dari ayah saya. Cara pembuatannya seperti berikut :

1-Ambil satu batang padi yang elok dan  besar. Pentingnya mencari batang padi yang elok adalah kerana supaya angin yang ditiup nanti tidak akan keluar dan menghasilakn bunyi yang lebih baik.
2-Potong bahagian hujung batang padi berdekatan dengan ruas supaya angin yang ditiup dapat keluar dan potongan itu haruslah sepanjang 1cm ke 2cm. Potongan yang terlalu panjang akan menyebabkan bunyi tidak terhasil dan banyak angin yang terkeluar. Selepas itu wisel padi anda telah siap.

Harapnya akan ada peluang untuk anda pelajari dan membuat sendiri wisel padi anda.


Gambar rajah wisel padi



Gambar rajah batang padi

Gambar rajah sawah padi

Wednesday, September 3, 2014

apabila jalan kita sukar

Pernah sekali jalan yang kita lalui sukar dan penuh duri antara pilihan satu dua tiga. kekadang jalan yang kita mahu tidak pula kita dapat, dan apa yang kita dapat hanya jalan yang tidak kita ingini. oleh itu berdoalah kepada tuhan dan mohonlah supaya jalan yang diberi memberi pengertian yang lebih besar dari jalan yang kita ingini. Supaya diberi sesuatu yang lebih bernilai dari sebuah kepuasan dan kemahuan.

Kekadang bila kita diberi jalan yang lain, mungkin sedikit bengkok. kita merasa lemah dan mahu berhenti seketika tanpa meneruskan perjalanan. Ketika itu kita akan merasa bahawa lebih baik kita berhenti dari melakukan apa apa hingga kita lupa yang maha kuasa sentiasa memerhati setiap jiwa dan setiap nyawa yang ada di pengetahuan Nya dan Dialah yang Maha Mengetahui.  Mungkin yang Dia mahukan adalah kita sentiasa ingat bahawa Dia sentiasa bersama kita.

Bila kita mahu sesuatu itu dengan sangat kuat, dan bila keinginan kita ditidakkan oleh takdir, percayalah yang kemahuan kita itu ditidakkan untuk sementara kerana dia mahu kita bersyukur dengan pemberian dan sentiasa memberi kepada orang lain. Kerana ketidaksempurnaan kita sudah lama difahami oleh Nya. Kerana setiap inci kesalahan dan kebaikan yang kita lakukan diselami dan diingati oleh Nya dan diketahui oleh Nya sebelum kita sempat untuk melakukannya. Ia antara pilihan yang kita buat.

Teruskanlah memberi kepada manusia kerana setiap yang kita beri, telah dijanjikan kepulangan kepada kita adalah bahagia.

Monday, August 25, 2014

Cerita Merdeka saya

Ketika orang lain sedang mencari cari budaya untuk menjadi rujukan anak muda, kita sudah pun menjadi sebahagian dari budaya kita. Kita punya satu bangsa yang menjadi budaya sebagai satu cara hidup. Bukan terperangkap dalam budaya asing yang sentiasa menongkah arus kehidupan.  Seperti yang diperkatakan oleh seniman agung P Ramlee, jika budaya melayu tidak diterapkan ke dalam jiwa anak muda, nescaya budaya asing akan mengisi kekosongan itu. Kata-kata ini diungkapkan berpuluh tahun dahulu sebelum bangsa kita dihinggap budaya Kpop dan budaya kuning. Mungkin kita lupa yang budaya itu yang menjadikan melayu seorang melayu. Tapi mereka mereka ini tidak mahu lagi menjadi melayu, maka mereka menjauh dan hilang.

Jika filem filem kita dipenuhi kisah cinta dan dunia, lambat laun budaya ini lah yang akan menjadi cara hidup orang kita. Mana filem filem yang menaikkan budaya kita sendiri, kita tak perlukan budaya asing untuk membangunkan industri filem kita, cuma perlukan pembangunan budaya sendiri dengan garapan yang hebat dan tulus. Namun ketulusan itu sangat jauh. Kita punya budaya yang cukup hebat, dikir barat, wau bulan, wayang kulit, tapi filem itu tidak banyak diketengahkan. Kerana itu kita semakin sesat dan budaya kita terbiar. Dan lambat laun orang kita akan menjadi kebingungan sendiri.



ketika kecil lagi, kita orang kelantan didedahkan dengan cara membuat wau bulan, cara bermain congkak dan banyak lagi budaya lain. Tapi sekarang yang tinggal hanya cara hidup yang jelas berbeza di bandar. Orang kita tidak lagi tahu apa itu budaya, apa itu wayang kulit dan menusuk. Kekadang aku terfikir bagaimana dengan kehidupan anak anak kita masa hadapan kalau budaya melayu ini kita tidak terapkan dari awal.Kemana akan hilangnya budaya kita yang indah ini jika kita sendiri tidak memartabatkannya. Kerana itu pemimpin negara perlu peka tentang perkara ini dan bukan hanya mengejar kemodenan semata mata.

Kita mungkin sudah 57 tahun merdeka, setiap tahun kita menyambut kemerdekaan, tapi sebenarnya nilai kemerdekaan kita semakin lama semakin hilang. Semangat patriotik kita semakin hilang. Nama kita semakin pudar dan warna kita malap. Dari tahun ke tahun, biru negara kita semakin menjadi jingga. Dan anak muda menjadi mangsa.

Selamat Hari Kemerdekaan Malaysia.

Sunday, August 24, 2014

Mencari kehidupan

Pernah tak kadang kadang kita melihat langit orang lain lebih cerah dari langit kita. hijau taman taman kita tidak secerah taman mereka yang lain, kerana itu kita sering terfikir untuk berhenti dan berfikir balik tentang pilihan yang kita buat samada tepat atau tidak. Dimasa itu kita merasa sangat lemah dan jatuh dan merasa bahawa hidup ini bukan di tangan kita. Persoalannya bagaimana kita ingin menentukan pilihan kita tepat atau tidak. kerana kita sebagai manusia hanya boleh membuat pilihan, kesudahannya bukan di tangan kita.

Biar aku ceritakan sebuah cerita. Seorang ustaz telah menasihati seorang pelacur untuk berubah dan menjadi baik,setelah hampir 10 tahun mencuba, si pelacur itu tetap meneruskan pekerjaan nya. Si ustaz ini kecewa dan terus merasa bahawa pelacur ini sudah tiada harapan untuk bertaubat dan menjadilah dia ahli neraka. Namun kesudahanya, dengan kuasa tuhan, si pelacur ini ditempatkan ke dalam syurga dan ustaz ini dihumban keneraka. Kerana kuasa menghukum itu ditangan Tuhan, bukan di tangan manusia. Sebanyak mana pun kebaikan yang kita buat, lambat laun segalanya akan dinilai oleh Tuhan dan balasannya itulah yang Maha Adil. Dan sebanyak mana pun dosa kita, hanya tuhan yang Maha Mengetahui. Jadi ada apa pada manusia ini, tiada apa apa.

Kehidupan apa yang sebenarnya kita cari, adakah ia kebanggaan, atau nama dan pangkat. adakah ia untuk menjadi alat untuk menipu manusia atau sekadar syarat untuk hidup didunia. Kenapa setiap inci manusia dijadikan robot supaya mengikut setiap kata nesta manusia. Mengikut segala manual segala macam jadual kehidupan yang hanyalah semua itu tipu daya. Walhal hidup bagaimana yang sebenarnya yang benar benar sempurna. Malam ini masih lagi tertidur lena, dan esok masih lagi bangun mengadap paip mandi yang sama dengan tuala yang sama. Semakin lama benda berubah dari baik ke bertambah baik, dari tuala sekeping ke tuala tebal. Tapi isi dalam manusia itu semakin lama semakin buruk. Penyakit semakin banyak. Kulit semakin menggeriput. dan udara semakin membinasa. Jadi untuk apa kehidupan ini dan segala macam keselesaan yang dicari.

aku mahu berhenti tapi aku tidak mahu dianggap tewas. Mungkin ada sinarnya nanti.

Tuesday, August 19, 2014

Identiti Bangsa Malaysia

Surat untuk Tun.

Bangsa Malaysia seperti yang diingini oleh Tun Mahathir adalah sebuah masyarakat Malaysia yang hidup secara berharmoni walaupun berbeza agama, warna kulit dan juga pandangan. Mewujudkan sebuah bangsa yang terdiri dari pelbagai etnik dan budaya bukanlah sesuatu yang mudah dan menjadikan pelbagai bangsa menjadi satu lebih payah dan lebih parah jika tidak berpijak pada dasar universal dan bebas kepentingan. Apa yang dilakukan oleh Malaysia sekarang ini adalah penyatuan bangsa bangsa dalam malaysia, cina melayu dan india dalam satu rumpun dilihat tidak akan berjaya kerana pada asasnya kita semua memang berbeza. Hanya satu sahaja cara yang paling sesuai, iaitu bangsa cina dan india perlu asimilasi dengan budaya melayu dan meninggalkan sedikit demi sedikit budaya yang memisahkan bangsa bangsa malaysia. Penyatuan ini boleh dilaksanakan dengan berpandukan prinsip menjadikan agama sebagai asas penyatuan. Namun cara ini harus diteliti dengan cermat kerana ektremis agama tentunya akan ditolak mentah mentah oleh masyarakat Malaysia.

Jika difikirkan, bagaimanakah bangsa bangsa yang berbeza di Malaysia ini akan hidup berharmoni sekiranya apa yang dilakukan oleh bangsa Cina dibenci oleh orang melayu dan begitu juga sebaliknya. Namun jika Malaysia meletakkan asas bahawa apa yang dilakukan oleh manusia punya had yang ditetapkan oleh Allah SWT, nescaya masyarakat di Malaysia mampu hidup berharmoni. Tapi dalam isu Islam, kerajaan mengambil langkah jalan tengah dengan memberi kebebasan 100% kepada bangsa lain untuk mengamalkan ajaran mereka yang menghendaki sesetengah amalan yang mungkin menjadi polemik membawa kepada jarak perpaduan yang semakin membesar.Sebagai penyelesaian, Malaysia perlu menjadi sebuah negara yang benar benar mengamalkan ajaran islam dan menolak segala aktiviti yang bertentangan dengan ajaran Islam, seumpamanya judi dan arak. Tapi sudah tentunya ia memberi impak yang agaka besar kepada ekonomi Malaysia, kerana kebanyakan cukai yang diperoleh kerajaan adalah dari industri industri ini. Kerana itu cadangan menjadikan Malaysia sebagai negara islam yang benar benar mengamalkan ajaran islam adalah perlu diteruskan.

Dakwah dakwah perlu dipergiatkan di bandar bandar supaya ajaran Islam sebenar difahami oleh bangsa lain. Kealpaan kepada ajaran islam yang sebenar membawa kepada kemungkaran yang dilakukan oleh manusia dan akhirnya membawa kesan buruk kepada diri sendiri dan negara. Namun usaha seumpuma ini akan mengambil masa yang lama tapi hanya inilah satu jalan yang membawa kepada perpaduan kaum yang sebenar. Ketika ajaran islam menjadi kuat, perkahwinan antara cina dan india dan melayu menjadi satu perkara biasa. Ekonomi berasaskan islam akan menjadi kenyataan dan kepimpinan khalifah mampu ditegakkan. Dengan perkahwinan antara kaum akan mewujudkan bangsa yang lebih bijak kesan dari perbezaan genetik antara kaum. Dan semestinya, yang beragama akan menjadi kuat ketika ini dan dilantik menjadi pemimpin manakala yang cetek ilmu agama akan menjadi pengikut, tiada lagi istilah kroni dan ketuanan. Perkara inilah yang dikhuatiri oleh sesetengah pemimpin negara apabila kerajaan islam ditegakkan. Seumpama menjerut leher mereka sendiri. Dengan kenaikan orang beragama menjadi pemimpin, anak anak muda akan berbondong bondong mencari ilmu agama dan bercita cita menjadi seorang manusia yang beragama dalam arus moden. Lebih ramai doktor doktor islam dan jurutera jurutera islam akan dilahirkan. Masalah sosial akan mampu dikurangkan kerana banyaknya peluang pekerjaan dan sedikitnya hiburan yang melalaikan. 

Kerajaan melayu melaka dahulu ditegakkan bukan atas nama bangsa Melayu, tapi atas dasar Islam. Sebagai bukti kita lihat bagaimana parameswara yang ketika itu beragama hindu menukarkan agamanya kepada Islam dan seluruh pelusuk nusantara menjadi Islam secara total. Disini kita dapat lihat peranan Islam dalam membentuk sesebuah negara bangsa Malaysia. Jika pemimpin kita tidak nampak perkara ini maka malanglah bagi negara kita.Kerana itu, bangsa bangsa yang berbeda di Tanah arab mampu disatukan dibawah satu agama. Islam telah wujud lama di India, di China dan diseluruh pelusuk dunia tapi bagaimanakah Islam tidak boleh menjadi agama yang satu di negara ini.

Rujukan
1-http://www.ukm.my/news/index.php/ms/berita-penyelidikan/1616-malaysian-civil-law-need-to-revert-to-islamic-civil-law.html

Saturday, August 16, 2014

Nasi, roti canai dan Merdeka.

Di kampung, kita selalu dididik untuk makan makanan di rumah. tidak membeli di kedai kedai makan yang lain terutamanya mamak dan western. samatelah lagi di kampung kita tidak didedahkan dengan makanan mamak apatah lagi makanan western. Satu point yang bagus adalah kerana makanan makanan ini sangatlah mahal dan kita orang kampung memang tidak mampu. Kerana itulah juga restoren restoren western tidak melebarkan sayap mereka ke kampung kampung kecil. 

Hidup di sebuah kampung yang terpencil dahulunya jauh dari pembangunan, memang cukup indah. Kami orang kampung diajar untuk mencari sendiri sumber makanan, tidak perlu membeli atau berharap 100% supaya barang keperluan disediakan di kedai kedai. Kerana itulah kami mengusahakan padi untuk beras, mencari ikan di bendang dan menanam sayur di ladang. Kebergantungan kami kepada kedai boleh dianggarkan kurang dari 10%. Setiap pagi, petani akan berbondong bondong ke sawah mengusahakan padi, 'bercedong' panggilan yang sinonim dengan orang kelantan dulu untuk proses menanam benih padi ke tanah. Apabila padi cukup masak kekuningan, tiba masa untuk menuai iaitu kami memanggilnya 'mukul padi'. Proses yang memerlukan masa sehingga seminggu itu cukup memenatkan tapi puas. Setelah buah padi dikumpulkan, kemudian padi tersebut akan disimpan dalam 'baloh padi' untuk digunakan sebagai makanan sepanjang tahun. Ada juga yang menjual padi padi tersebut kepada orang tengah untuk mendapatkan wang. Sekarang proses itu ditinggalkan kerana permodenan dan kurang efisien. Kerajaan mewujudkan sistem tanaman dua kali setahun dengan menyediakan mesin padi dan juga teknik taburan yang ternyata lebih mudah dan cepat. Sudah hampir 10 tahun petani-petani ini tidak ke sawah kerana semuanya menggunakan khidmat orang luar. Salah satu sebab nya mungkin kerana anak muda tidak lagi mahu hidup dikampung. Keseronokan menanam padi kini semakin hilang dan kami mula belajar yang 'sesuatu yang memudahkan dan cepat itu kadang kadang tidak menguntungkan'. Kerana itu, anak anak muda ini terus ke bandar dan memulakan hidup baru. Beradaptasi dengan keadaan dan suasana. sehingga suasana kampung dilupakan dan kemeriahan kampung mula beransur hilang.

Sememangnya makanan banyak mempengaruhi manusia. Kerana itu kita diajar supaya hidup dalam kepompong melayu agar kita tidak dipengaruhi oleh budaya lain. Tapi kerana desakan masa, kita sering dipaksa untuk beradaptasi dengan keadaan atau kita akan ditinggalkan jauh dibelakang. Kita dipaksa menjadi kupu kupu atau terus menjadi penghuni kepompong. Lantas banyaklah orang melayu yang mengambil inisiatif untuk berpindah dari bandar ke luar bandar semasa zaman pemerintahan Tun Mahathir. Salah satu puncanya adalah kerana kerajaan sedia ada tidak menyediakan peluang pekerjaan kepada orang melayu yang kebanyakannya makan bersuap. Perpindahan yang paling banyak adalah semasa kerajaan menggalakkan perpindahan orang melayu ke bandar-bandar besar seperti Lembah Kelang yang mana ketika itu dikuasai oleh orang cina. Tujuannya adalah untuk menyeimbangkan pecahan kaum antara cina melayu dan india. Kerana itulah ramai orang melayu dari Kelantan banyak berpindah ke bandar-bandar besar, ditambah pula dengan sifat jati diri orang Kelantan itu sendiri yang suka merantau dan berniaga. Suatu ketika dahulu, Lorong Hj Taib semasa kegemilangannya dikuasai oleh 80% orang Kelantan sehingga terpaksa diwujudkan satu komuniti masyarakat kelantan. Kampung baru pun begitu. Oleh kerana itu, untuk memenuhi kehendak orang melayu, maka kedai kedai makan orang melayu semakin membiak. Nasi kukus, nasi kerabu dan nasi dagang menjadi makanan wajib dimana mana sahaja pergi. Nasi Ikan singgang, salah satu makanan masyarakat kampung, kini di tengah tengah bandar Kuala Lumpur. Dan jika bukan kerana sikap kerajaan yang memberi ruang kepada bukan melayu dan sikap remeh temeh kerajaan dalam isu berkaitan hukum islam, sudah pasti kelab malam dan hiburan di bandar Kuala Lumpur dihapuskan, jika tidak pun dikurangkan. 

Dalam banyak banyak melayu yang berpindah, hanya segelintir sahaja yang mampu mengadaptasi dengan suasana baru. Mereka mereka ini menjadi orang orang besar dalam organisasi dan menjadi orang yang membuat pilihan. Yang selebihnya menjadi pekerja bawahan dan orang kolar biru. Kebanyakannya ditindas. Maka wujudlah diskriminasi kaum dan api perkauman yang selama ini dikawal akhirnya meletus pada 13 Mei 1969 apabila tercetusnya  Rusuhan Kaum pertama. Kerana sikap melayu itu yang lemah lembut, peristiwa itu terpaksa dilupakan dan dibiarkan berlalu agar peristiwa serupa tidak berulang. Kerajaan pula mengambil tindakan untuk mewujudkan akta yang lebih ketat untuk isu perkauman dan hasutan. Rukun negara diwujudkan dan mesti diamalkan oleh setiap warganegara.

Kini orang melayu yang kebanyakannya telah hidup dibandar merasa peritnya kehidupan yang ditindas, maka ramailah yang berbondong-bondong berpindah ke kawasan baru dan tidak kurang juga yang pulang ke kampung kampung semula. Kerana peluang pekerjaan yang sedikit dan kos sara hidup yang samakin meningkat, berpindah adalah satu cara yang paling baik. Kerana itu kerajaan terpaksa mewujudkan Putrajaya sebagai pusat kerajaan, dan membuka kampung kampung baru untuk dihuni orang melayu. Yang melayu kembali ke kampung dan bangsa lain kekal di bandar. Segelintir melayu masih kekal dibandar kerana desakan hidup dan selebihnya berpindah ke Shah Alam dan sekitar. Dengan penubuhan Greater KL maka akan ramai lagi orang melayu akan berpindah ke kawasan luar kota, kalaupun bukan dikampung, kerana kos sara hidup yang tinggi. Bangsa bangsa asing akan terus menguasai bandar bandar besar di Kuala Lumpur dalam beberapa tahun lagi. Orang melayu akan terus terpinggir jika mereka sendiri tidak mengambil inisiatif untuk berkembang dan berubah.

Mengambil contoh dari masyarakat yang dicipta oleh Kerajaan Kelantan, sudah sekian lama bangsa lain menyatu dengan melayu. Bangsa lain mengamalkan cara hidup melayu, makan nasi dan budu kerana mereka tiada peluang untuk hidup dalam cara mereka, mungkin kerana mereka minoriti tapi alasan utamanya kerana sikap kerajaan kelantan yang mahukan begitu. Sekiranya kerajaan malaysia mengambil inisiatif seperti kerajaan kelantan, cuba bayangkan masyarakat yang mampu dihasilkan. Tapi kerajaan mengambil langkah yang berbeza iaitu dengan mengekalkan identiti bangsa lain, dan menyatukan mereka seperti menyatukan kopi milo dan teh dalam cawan yang sama. Dan yang bakal terhasil adalah rasa yang tidak disukai walaupun berbeza dari yang lain. 

Peluang yang masih ada adalah dengan membangunkan anak muda melayu yang berpotensi dan komited untuk berjaya. Sememangnya kerajaan telah banyak menyediakan dana untuk orang melayu, tapi dana itu disalahgunakan oleh orang tertentu, kebanyakan mereka ada orang atasan yang menggunakan kabel dan kroni untuk membangunkan kehebatan mereka berbanding memberi peluang sama rata pada semua melayu. maka yang telah kaya akan kekal kaya dan yang miskin akan kekal miskin. Meskipun ada melayu yang kaya raya tapi jumlahnya kecil berbanding bangsa lain yang terus memajukan bangsa mereka. Komuniti cina tiada istilah dalam erti untuk memilih bulu dari segi dana berbanding melayu. Kerana itu ada cendikiawan yang berkata bangsa melayu sendirilah yang menjatuhkan melayu itu.

Melayu itu pada asasnya satu bangsa yang suka berniaga dan berpindah. Sejak dari zaman parameswara dan kegemilangan melayu melaka, bangsa melayu telah terkenal kerana sikap ramah dan komited dalam bidang perniagaan. Kini, lihat sahaja berapa banyak bangsa melayu yang membuka kedai makanan terutamanya melayu kelantan. Dan lihat juga berapa banyak yang berpindah keluar negara kerana desakan hidup. Bangsa melayu juga satu bangsa yang gemar berlembut dengan bangsa lain sehinggakan sedikit demi sedikit keistimewaan mereka dirobek dan dirampas. Jika kerajaan tidak melihat potensi melayu seperti ini, maka melayu akan terus kekal dibawah dan mundur. Kita bukanlah tidak mampu merubah bangsa kita, cuma kita tidak mampu melihat peluang yang tersedia. Selamat hari Merdeka.

Sunday, August 10, 2014

Tips untuk blogger

apabila aku mula menceburkan diri dalam bloging aku tak pernah menjangkakan bahawa blog akan menjadi seperti DIARI atau travelog seperti blog blog yang sedia ada. Dan bukan juga seperti sebuah blog politikus yang mencaci manusia dan menuduh itu ini walhal kita sendiri pun belum sempurna. Apa yang aku tuliskan kebanyakan nya adalah pemikiran yang juga tindak balas yang ringkas yang mana aku rasa perlu dihebahkan ke dunia maya. Walau pada hakikat nya maklumat itu tidak sampai dan tersangkut.

Aku sangat mengagumi ketokohan dan hasil kerja tangan Tun Mahathir yang kebanyakannya bukan menuduh tapi mencari penyelesaian dan dalam masa yang sama memberi penerangan yang jelas tentang sesuatu isu. Untuk menulis sebuah pemikiran yang serupa dengan pejuang negara itu sangat jauh dari aku. Beliau menulis dalam konteks yang lebih besar dan benar dan aku menulis dari konteks yang lebih kecil dan ruang pemikiran yang kebih sempit. kebanyakan yang diluahkan di blog adalah kenangan silam yang mana seringkali datang dan menjemput.

Memasuki dunia blog bukan senang malah bukan sukar. Aku memulakan idea untuk berblog pada tahun 2008 apabila aku mula mula melangkah ke peringkat ijazah. Pada masa itu, tujuan aku hanya satu, supaya blog ini menjadi tatapan orang orang dan mereka yang terkemudian. Aku percaya pemikiran manusia itu dilahirkan sebagai hebat, perbezaan yang ada membuat kita unik dan dengan alasan yang diperoleh menjadikan setiap pemikiran kita berguna. Oleh itu, tanpa menyediakan satu platform dan landasan supaya idea idea itu bercambah, akan membuat pemikiran menjadi beku dan kosong. Dan lama kelamaan akan mati.

Dalam etika penulisan, tatabahasa yang bagus perlu tapi bukan wajib kerana bahasa itu dicipta oleh manusia. Dan kalau dibandingkan dengan bahasa kita dengan bahasa bangsa lain, kita masih jauh. Oleh itu, aku percaya penyampaian maklumat yang lebih ringkas amat perlu supaya pembaca tidak merasa kusut dan sesat. Ada lima blog yang sempat aku buat, yang pertama sekali adalah blog peribadi iaitu www.nak088.blogspot.com yang telah ditukar kepada blog ini. Yang kedua blog persatuan yang kemudian nya menjadi blog peribadi untuk presiden persatuan kelab pengakap laut www.odysseyrovers.blogspot.com, yang ketiga blog umionline untuk perniagaan yang mana hanya sekerat jalan, yang keempat blog untuk bidang aku www.environmentalmalaysia.blogspot.com iaitu yang paling baharu dan yang terakhir blog aku dan dia.

Untuk berblog, kunci utama yang perlu ada adalah masa. Banyak blog blog yang hebat kebanyakan nya kerana penulis mempunyai banyak masa terluang dan punyai pemikiran kritis. dan masa adalah kelemahan aku. Nasihat aku, guna masa dengan sebaiknya.


Aku dah lama tak buka blog almost 3 bulan akibat sibuk dengan pengajian dan kini aku terasa betapa azabnya bila sungai pemikiran tersekat.Aku terkejut bila aku dapat tahu blog satu lagi dapat 14k pageviews dan aku macam, what !! aku tak tahu apa dan kenapa sampai 14k pageview padahal blog itu bukan blog hebat.

Ringkasnya, aku kepilkan beberapa tips untuk mereka yang mahu mulakan idea berblog, baca dan cuba fahami benda yang aku sampaikan
1-Tulis blog tentang apa yang anda minat dan lakukan sehari hari but jangan jumudkan pemikiran anda dengan tulisan yang simple simple seperti, hari ini saya sakit perut, please dont sebab pembaca mahukan sesuatu ilmu bukan nya nak menyelami pahit pedih hidup anda.
2-Keep on writing even ada kekangan masa sebab kalau anda stop bloging thats mean pembaca menganggap anda sudah mati and mereka akan cari blog lain.Kalau boleh make sure ada hari hari tertentu yang anda akan menulis dan berjanji dengan pembaca bahawa every saturday mereka akan membaca sesuatu yang baru.
3-Menulislah dengan berhemah and dont write something yang akan membuat orang terasa secara direct. If anda rasakan itu perlu, tulis secara berhemah dan bertanggungjawab dan berlapiklah.
4-Blogging boleh manghasilkan pendapatan tapi jangan anda sempitkan pemikiran anda dengan menganggap anda menulis untuk duit.

Itu sahaja yang boleh dikongsikan buat masa ini. terima kasih.

before i end up, just nak throw back penulisan lama yang aku rasa amat berguna dan bermanafaat.

April 2012
diari 12:19 pm

aku terfikir apa yang membezakan kita diantara orang yang berjaya dan orang yang gagal. sebenarnya kejayaan bagi seseorang itu bergantung pada nilai dalam dirinya sendiri. apa yang menguatkan nilai itulah yang menentukan tahap kejayaan seseorang. Selagi maha manapun nilai dalam diri seseorang itu, selagi itupun kejayaan akan ditemui olehnya. Keduanya, adalah usaha oleh seseorang itu. usaha memainkan peranan yang cukup besar dalam kehidupan. sekuat mana nilai yang dia perolehi dari kehidupan, ia tidak membuahkan apa-apa selagi dia tidak berusaha untuk mendapatkan kejayaan. ramai orang yang menganggap bahawa rezeki manusia itu telah ditentukan oleh yang Maha Kuasa, namun apakah kita mampu mendapat sebiji buah jika tidak berusaha untuk memanjat pokok. Mungkin akan ada buah yang jatuh, tapi ia tidak sebagus yang dipetik.

jika kehidupan setiap dari kita berbeza, dan nilai setiap biji buku itu juga turut berbeza apakah nilai yang seharusnya dikejar oleh seseorang agar harga bagi sebuah bukunya melepasi harga pasaran semasa. yang jelas sekali adalah dengan meletakkan nilai bagi sesebuah buku itu lebih berharga dari yang lain-lain. jika sebuah buku itu menerangkan tentang cara-cara membuat sehelai langsir, cubalah terbitkan buku yang membincangkan tentang cara-cara membuat sebiji mesin membuat langsir, nescaya ia lagi berharga dari buku yang lain-lain. itulah nilainya sebuah usaha, iaitu dengan mencuba sesuatu yang berbeza dari yang lain-lain, barulah segala usaha itu akan dipandang oleh masyarakat. kerana secara fitrahnya manusia mahukan sesuatu yang berbeza dan lain dari yang sebelumnya.

kebanyakan dari kita akan tetap berusaha untuk menjadi yang berbeda dari yang sebelumnya, maka akan terjadilah persaingan. sama ada ia persaingan sihat ataupun tidak, ia masih tetap persaingan. maka bagaimana untuk terus releven dalam sesebuah persaingan dan supaya kita tidak tertewas. jauh dari setiap benak hati setiap dari kita mahukan kejayaan, tidak kira dari segi apa pun yang kita lakukan. tapi bagaimana? iaitu dengan memerhati sekeliling dan mengikuti jejak mereka yang telah berjaya. contohi mereka dan segala jalan yang terbaik, ikut mereka. cari mereka dan jadikan mereka itu sebagai panduan. jika kita tidak mampu menjadi seperti mereka, sekurang kurangnya kita telah menjadi pengikut mereka. 

mengapa ramai yang gagal dalam hidup mereka. kerana mereka itu sendiri yang mentakrifkan diri mereka itu gagal. Ada jugak diantara kita yang tidak sanggup menghadapi sesebuah kejayaan, kerana mereka tidak mahu meletakkan sebarang risiko dalam hidup mereka dan akhirnya mereka akan tetap berada dikelompok yang sama sepanjang hayat mereka. Persoalan seperti apa akan terjadi sekiranya aku berjaya? apakah masyarakat akan membenci aku, adakah segala keburukan aku akan dibentang pada dunia, bagaimana jika aku akan menambah kan musuh berbanding sahabat..ketaraan itulah yang membedakan antara yang berjaya dan gagal. untuk berjaya, rebutlah peluang yang terbentang dihadapan anda. jangan kerana takut akan seribu andaian yang masih belum pasti. anda menjadi takut untuk menerima risiko.keduanya adalah kejayaan itu adalah berkaitan hanya tentang masa. orang yang selalu berjaya, adalah kerana masa yang mereka gunakan sangat efektif dan berguna. Kejayaan itu pasti akan menemui mereka yang selalu berusaha ke arah sesuatu, cuma yang membedakan kita hanya dari segi masa.

jika anda tidak mahu berusaha, istihar kan diri anda telah mati.

Wednesday, May 28, 2014

Menabur impian

bila difikirkan balik, kehidupan ini terlalu singkat. baru semalam aku bercerita tentang kehidupan masa kecik, hari ini sedar sedar dh dewasa dan membesar. esok lusa orang yang kita sayang pula akan pergi, kawan kawan dan juga ahli keluarga dan akhirnya mungkin kita ataupun kita mendahului mereka. takdir sejuta kemungkinan.

Manusia berlumba lumba mengejar sejuta impian dan kenangan supaya bila mereka pergi nanti kenangan itu akan menjadi sesuatu yang sangat indah untuk ditatapi manusia. Namun, tak semua yang indah itu akan disedari oleh mereka yang lain kerana intersepsi minda antara setiap dari kita adalah berbeda.

Apa yang paling penting bagi kita adalah bagaimana kita menghargai hari ini. Esok dan lusa kita mungkin tidak lagi berpeluang seperti hari ini. Orang yang menyempurnakan hari ini adalah orang yang sangat bertuah dan beruntung. Impian ditabur bukan untuk menjadi makanan ayam tetapi mengharap agar impian itu bercambah menjadi realiti.

Tuesday, May 6, 2014

Penebus semangat lama

Duhai bonda
Bilakah akan ku kecapi kasturi
Penebus maruah
Dan semangat lama
Mengapa sinar neon dan gedung indah
Kotaraya yang menjanjikan sejuta rasa
Sejuta haruman
Kini menjadi penjara jiwa
Ku yang merindukan ketenangan

ruang yang semakin mengecil ini, kian menghimpit dan memaksa jiwa manjadi kebal dan berfikir secara total dari pelbagai sudut. Sedang hakikat manusia sering terhimpit dengan masalah yang datang bertubi tubi ah aku tidak mahu guna perkataan bertubi tubi tapi lebih elok bershh shh. sudah aku isi ruang ini dengan segala usaha dan kudrat supaya esoknya aku tak perlu lagi berdiri. hari ini aku sedang siapkan satu kerusi yang mana esoknya aku mampu guna dan pakai. harapnya aku tidak lagi perlu penat berdiri pada keesokan hari. kerusi ini buatan nya tulus dari sejuta pemikiran supaya ergonya tidak luntur dan menyanggah kebenaran. pengalaman akan menjadi penentu segala penebus semangat lama. dulu kerusi ku tidak seutuh kayu chengal. hancur dan luluh di tengah kerinduan manusia. kekadang memakan tuan. kekadang khianat pada hukum alam. aku harap kerusi ini mahunya menjadi penyelamat semangat lama.