Saturday, January 28, 2023

Meleret awan putih

Kalau aku boleh habiskan lukisan dalam ayat ayat yang senang untuk kau faham, wahai jiwa. ayat yang kau akan faham dan faham dan faham. Atau perlu kah aku meleret awan putih untuk sekali lagi bercerita buktikan betapa aku mahu kesana, mahu menggemudi rasa yang tidak senang ini dan jiwa jiwa yang membuas bagai singa.

Aku tidak punya segulung awan untuk itu, tidak pula aku punya secarit kenangan membalas serangan jiwa yang memberontak. dari tinggi tinggi puncak awan sana, aku tahu kau sedang memerhati. Dari segenap celah langit, kau memerhati dengan segala rasa, tapi aku tidak punya kefahaman pula tidak punya rekayasa yang panjang atas minda yang luas.

Awan putih yang tinggi dan terang itu juga. Masih dalam dakapan Tuhan. Manakan bisa aku mengadu duga pula.




Cerita tentang sesuatu yang hilang

 



Menyelusuri perjalanan singkat yang dirasakan sangat panjang. Menggemudi jiwa yang tenang tapi masih seperti laut yang mengganas, Menerima suatu hakikat dalam jalan yang maha luas dan cuba berpijak di tanah yang gersang. Kalaupun masih ada kupu kupu yang masih sudi singgah, mana tidaknya aku menunggu bulan, kalau ada lagi jiwa-jiwa ini, mana tidaknya aku masih berharap panjang.

Atau aku masih berharap pada suatu mimpi yang panjang. Untuk datang dan menggemudi aku lagi dan bukannya kita tidak mencari, terkadang kita cuma tidak jelas tentang apa sebenarnya yang hilang. Harus juga terkadang hidup dalam penafian, tentang sesuatu yang hilang, tapi masih kita lelah menjaga yang ada, sehingga merasa yang hilang lebih baik. 

Aku boleh menulis berjuta karangan, dan masih boleh terus membuat andaian, tapi aku masih belum jelas apa yang hilang. 


Friday, July 30, 2021

Penutup Sebuah Buku

Kita mencari penutup untuk sebuah buku, yang sangat panjang. Buku yang menceritakan satu kisah yang sudah kita tahu, sebuah kisah yang membiarkan kita dalam terpinga-pinga. Buku yang didalam nya serata dengan perjuangan, sarat dengan andaian yang pudar dan terasing. Sebuah penutup yang sukar sekali untuk ditulis.

Kita sedang mencari penutup untuk sebuah buku, supaya menjadi satu kisah berguna menjadi teladan dan contoh. Suatu masa menjadi sarat dengan pengajaran dan kebaikan yang dikumpul dengan jiwa jiwa yang tandus dan dahaga akan air. 

Kita yang mencari halaman terakhir untuk sebuah penutup untuk buku yang panjang.

Friday, May 28, 2021

sempurnakah mimpi

Gugur hujan dari langit adalah kerana kasih dan cinta Nya. Gugur dedaun dari dahan adalah kerana tulus kasih Nya. Gugur jiwa jiwa ini adalah kerana cinta Nya.

Berikanlah segala ayat ayat terindah yang ada, tidak akan mampu diluah untuk Nya. Akan segala rasa yang terbuku dalam setiap penjuru jiwa, dan segala nada nada yang merdu tidak akan dapat menzahirkan segala cinta dan kasih pada Nya. 

Mungkin kerana itu kita hamba dan bukan penguasa.

Segala warna-warna pelangi, yang terhidang, tidak akan mampu menjadi tanda cinta untuk Nya, biarpun dikumpul dan di luah dalam lukisan paling indah, tidak akan mampu melebihkan segala rasa sayang dan kasih pada Nya. Yang rasa itu akhirnya menjadi suatu telahan sombong dan riak, seolah sebuah cinta yang tak berbalas dan sebuah pengabdian yang terasing.

Dan.

Sesempurna manapun mimpi, tidak akan mampu menjadi asbab untuk sebuah realiti yang palsu. Menjadi penyeri untuk suatu hidup yang jiwa jiwa dalam kekosongan. Untuk jiwa-jiwa yang tersesat. Sederet mimpi yang terhidang, bukan untuk kita. Sederet mimpi yang terhidang, tidak sesempurna mana.




Sunday, May 23, 2021

Langit indah yang bermimpi

Langit indah yang bermimpi dunia tanpa tangisan. Dunia tanpa peperangan yang panjang. Dunia yang tiada lagi mengenal peperangan. Langit indah yang bermimpi yang merindu akan satu jiwa yang benar-benar merdeka. Dan bukan dunia yang kejam. 

Langit indah yang bermimpi, pelik, tiga ratus jiwa jiwa muda menuntut janji janji untuk mereka. Syurga yang dijanji beratus tahun lamanya. Setelah hidup menderita di neraka dunia.

Wahai anak kecil, barangkali apa adu mu pada Tuhan.



Friday, May 21, 2021

Mengenal Laila

Mungkin kita kenal terlalu seketika dalam kancah dunia yang mendebar. Di tengah tengah kota Parsi lama ditepi puing puing Al Hamra. Berlari bersama bunyi dan memandang bersama sama segaris cahaya suria, disaat semua masih aman dan dunia masih indah.

Mendung awan yang berlalu di masa itu tidak semendung awan masa ini. Memang aku menyaksikan kecantikan dan keindahan mu ditengah tengah kota Parsi, ketika segala rasa dan cinta padamu, memutik. 

Kota Al Hamra menjadi saksi bagaimana sebuah keagungan jiwa dan cinta menjadi rasa.



Sunday, May 16, 2021

Sebaris Pelangi

Tuhan sebaris pelangi yang Kau janjikan, mana.

Tuhan, segulung awan putih yang Kau janjikan, mana.

Dimana secalit cahaya yang dijanjikan dalam kalam terindah, disebut sejuta kali, mana.

Tuhan antara dua, dan antara satu, mana.

Terpuruk lagi di ceruk ceruk dinding jiwa yang gelap gelita dalam sudut-sudut yang kecil, mana.

Tuhan salahkah aku yang bertanya. Dalam segenap derita dan gelita yang dirasa, kosong mengharap jiwa ini menjiwa menjadi sesuatu. Salahkah aku Tuhan yang senantiasa ingin kembali menagih usia. Dalam sepi sepi umur yang panjang ini, yang telah habis dirundung derita. 

Salahkah aku yang bertanya. Tuhan salahkah aku yang bertanya.