Gugur hujan dari langit adalah kerana kasih dan cinta Nya. Gugur dedaun dari dahan adalah kerana tulus kasih Nya. Gugur jiwa jiwa ini adalah kerana cinta Nya.
Berikanlah segala ayat ayat terindah yang ada, tidak akan mampu diluah untuk Nya. Akan segala rasa yang terbuku dalam setiap penjuru jiwa, dan segala nada nada yang merdu tidak akan dapat menzahirkan segala cinta dan kasih pada Nya.
Mungkin kerana itu kita hamba dan bukan penguasa.
Segala warna-warna pelangi, yang terhidang, tidak akan mampu menjadi tanda cinta untuk Nya, biarpun dikumpul dan di luah dalam lukisan paling indah, tidak akan mampu melebihkan segala rasa sayang dan kasih pada Nya. Yang rasa itu akhirnya menjadi suatu telahan sombong dan riak, seolah sebuah cinta yang tak berbalas dan sebuah pengabdian yang terasing.
Dan.
Sesempurna manapun mimpi, tidak akan mampu menjadi asbab untuk sebuah realiti yang palsu. Menjadi penyeri untuk suatu hidup yang jiwa jiwa dalam kekosongan. Untuk jiwa-jiwa yang tersesat. Sederet mimpi yang terhidang, bukan untuk kita. Sederet mimpi yang terhidang, tidak sesempurna mana.