Tuesday, February 20, 2018

kita berani

mungkin kita belum cukup berani untuk hidup sebegini.

sekeping kertas yang putih tidak akan tercorak dengan sendirinya, walaupun kekadang ia akan berkulat dan punya corak sendiri, namun pada zahirnya sehelai kertas putih tidak akan tercorak dengan sendiri jika tidak ada tangan tangan yang rajin mencorak, dengan penuh rasa dan cinta menjadi lukisan indah.

sepotong kayu tidak akan terbakar jika tiada tangan tangan kuat yang memulakan nyalaan api, sehingga ia membakar memberi percikan haba panas yang menghangatkan malam malam yang sungguh dingin di tengah rimba, menghalang segala binatang buas yang ingin membaham jiwa jiwa yang sedang gersang.

begitu juga kita manusia yang telah sekian lama harus senantiasa sesat dalam usaha yang kian hari kian mensia sia. kita hanya perlukan satu percikan api untuk menyalakan jiwa jiwa itu. kita hanya perlukan secalit warna untuk mencorak kertas kertas putih itu, untuk menjadi sesuatu yang memberi erti.

kita harus tetap berani untuk memulakan calitan itu, memulakan percikan api itu supaya nantinya calitan itu bisa menjadi sekeping lukisan yang sangat indah, dan percikan api itu bisa menjadi penyedap malam yang dingin ini.

Mungkin kita hanya perlu sedikit keberanian untuk menyalakan api itu.

Sunday, February 11, 2018

menjenguk jatidiri

selalunya tangan ini menulis bila ada rasa nak menulis, dan sekarang aku punya rasa untuk menulis. susah dan kekadang keliru dengan segala macam jalan hidup. putus dan bersambung seperti tali, tinggalkan bekas dan ikatan yang jelas, malas berpuluh ikatan yang putus dan semula disambung. ikatan jatidiri. kalau lah hidup ini umpama mati, nescaya ikatan itu telah lama putus.

setiap dari jiwa jiwa yang wujud didalam diri, pastilah bererti. meskipun terkadang jiwa itu sendiri sesat dan malah menyesatkan yang lain, namun kembalilah keatas jalan yang lama, biarpun perit dan membengkak. esoknya jalan jalan ini akan memberi erti, paling tidak pun untuk mencapai desinasi yang mendepani. disana.

luas dan panjang padang ini, hijau dan mempersona. rumputnya tinggi dan berbunga. indah sangat. walau sekadar untuk jiwa jiwa yang sedang enak bermimpi. seperti kita.

Sunday, January 7, 2018

Sekuntum lili sebuah tasik

sekuntum lili sebuah tasik. putih dan segar. mempersona mata-mata yang memandang.
sekuntum lili sebuah tasik. tenang dan sabar. dalam arus laju, dari hulu.
sekuntum lili sebuah tasik.

Kau sekuntum lili disebuah tasik, yang ganas dan bahaya. Dikanan mu kecewa dan derita, di kiri mu harapan dan berita. sentiasa menyinggah di hati hati manusia yang dahaga, kau sekuntum lili disebuah tasik.

Hari ini lili itu tampak ceria, dalam duka. ditegur sedikit, oleh masa silam. si penjaga masa. kerana kau sekuntum lili disebuah tasik.

teruslah mekar wahai lili ku, biar tasik harus bergelora, kerna kau cantik dan mempersona, untuk hati-hati yang tahu berharga.


membunuh masa

yang putih itu tidak selalunya cantik. yang hitam itu tidak selalu nye keji.

Ini sebuah kisah. tentang anak kecil yang membunuh penjaga masa. termenung anak ini dihujung jendela. melihat jauh ke bukit sana, menanti sebuah jawapan yang masih jua tak kunjung tiba. berharap dengan kepastian, semoga hadir cahaya terang.

Sekumpulan burung membawa berita dari sang Raja, mahu bersemuka dan mereda lemas didada. Akan sebuah persoalan yang telah lama, dan usang.  terbuang. Berkatalah si anak kecil itu kepada burung burung, jika benar segala berita, lanjutkan pesan ku kepada si raja. "bertemulah kita di hujung dunia, ditempat langit bertemu laut, dan panas bertemu sejuk, akan ku beri jawapannya disana". lalu terbanglah si burung mengadap sang raja, menurut perintah dari si hamba.

Hairanlah si raja, dengan permintaan anak kecil itu. Sepurnama dia berfikir akan tempat pertemuannya. maka dikerahkan segala nujum merungkai madah, menyingkap kosa kata tapi tidak berjaya. Setelah kecewa, lalu berangkatlah raja itu bertemu anak kecil tersebut di rumahnya. Hai anak kecil, aku tidak mampu menjawab permintaanmu. Namun cubalah selesaikan permasalahanku, "Penjaga masa telah melakukan onar di daerah beta, bagaimana beta mahu membunuhnya?"

Maka anak kecil itu menjawab, segaralah melakukan sesuatu, jangan ditangguh dan jangan ditunggu, jangan hidup dalam ruang lingkup masa, tapi hiduplah melangkaui nya. dengan itu, kau akan berjaya membunuh penjaga masa.






Saturday, December 30, 2017

Kita sedang hidup

kita mungkin salah, dan mungkin juga betul. mereka juga mungkin salah, dan mungkin juga betul.
seorang tuan bertanya kepada hambanya. dimanakah burung itu bersiul. Maka sihamba menjawab aku tidak tahu kerana aku tidak melihatnya.

Si tuan menjawab, seekor burung bersiul di atas sedahan ranting, juga sedang bersiul di atas sehelai daun, atau juga di atas sekeping bumbung rumah. setiap dari andaian kita mungkin betul dan mungkin salah. ia bergantung kepada apa situasi kita dan dimana kita berada. semestinya jika kita berada paling hampir dengan burung tersebut, kita mampu melihatnya bersiul dimana. Namun jika kita berada jauh kita cuma mampu mendengarnya bersiul dan tidak mampu melihatnya. Dalam masa yang sama, kita perlu lekas membuat keputusan. Dalam situasi begini, kita hanya mampu menjawab apa yang bermain di kepala kita. Limitasi berdasarkan lima deria manusia.

Seperti juga kehidupan, kita tiada deria untuk melihat masa hadapan, jadi kenapa kita sibuk berfikir untuk mendapatkan jawapan yang betul, sedangkan pilihan yang betul atau salah itu bergantung sepenuhnya kepada dimana kita berada. Apa pun keputusan yang dibuat, akan jadi betul bila tiba masanya. Walau dimana pun burung itu berada, namun keputusan kita tetap akan memberikan keputusan yang tetap sama, iaitu burung itu sedang bersiul. Kenapa kita fokus kepada dimana burung itu bersiul sehingga tidak mampu melihat kemerduan siulannya. Kenapa kita fokus kepada kesalahan sehingga tidak mampu melihat kecantikan.

benar kita sedang hidup walau dimana pun kita berada. Jadi hiduplah sesungguhnya.


Saturday, December 23, 2017

mewarna langit

Disana ada satu dunia yang penuh riang dan gembira. Sebuah dunia penuh dengan anak kecil, seperti kita. Yang hidup penuh impian, dalam mimpi yang mekar dan harum. Disana masih lagi ada padang luas yang rumputnya hijau, langitnya cerah membiru. Tempat bermain anak-anak kecil, gembira.

Dihujung hujung mata, redup pepohon tempat burung kecil berteduh, dari angin kuat ini. Untuk kita.Disana itu, ada gunung-gunung tinggi. tempat rehat angin garang ini. untuk seketika. Angin yang garang ini, reda dengan kelembutan gunung, penuh kasih dan belaian. Hingga redup menjadi awan.

Telah aku kata, disana akan ada satu dunia yang hijau penuh riang dan gembira. Anak kecil itu pasti ada disana dan gunung itu pasti ada disana, awan itu pasti ada disana. burung kecil itu pasti ada disana.


-idealist-




Sunday, December 17, 2017

Mencongak lapis langit

Hari itu sama seperti hari hari biasa. Duduk di jendela memerhati awan. beratur mengikut aturan. biru dan putih. Tidak seperti biasa, hari ini dia merenung jauh ke pusat langit, mencari cari petanda yang telah sekian lama dicari, sesuatu yang tiada kata dapat mengungkap, tiada rasa yang dapat diluah. Dia memerhati jauh jauh dengan mata hati. Jikalau ada sesuatu disana.

Pintu rumah itu kian tertutup. Pada secebis harapan dia berharap akan kewujudan, harapan yang harus dia punya, akan masa depan yang belum pasti. Rumah ini pasti akan dia tinggalkan suatu hari nanti, kepada yang lebih layak menyusun langkah, untuk kelangsungan harapan itu. Bukan biasa biasa rumah ini, ada rasa dan nafsu. Untuk terus hidup dan mekar. Harus hidup dan harus mekar.

Dia bukan siapa siapa. Hanya sebatang tiang di rumah lama.