setiap hari kita selalu bertemu dengan manusia, yang elok yang jahat yang nakal yang curang dan yang berdusta. kita menilai mereka berpandukan pandangan mata semata mata tanpa membuat penilaian hati yang mana penilaian hati lebih telus dan memastikan jawapan kita berada di tengah tengah skala penilaian, itu pun kalau hati kita bersih untuk menilai. kita tidak boleh terus menilai manusia yang jahat sebagai seratus peratus kejahatan kerana teori mengatakan bahawa dalam setiap manusia yang jahat itu masih ada sedikit kebaikan dan dalam setiap manusia yang baik itu masih ada sedikit kejahatan. kerana apa. kerana kita tidak sempurna. kita bukan seratus peratus complete. kita tidak cukup dan masih jauh dengan kecukupan itu.
aku terkadang lemah dalam menilai manusia. banyak benar dan juga tanggapan yang salah aku anggap sebagai benar dan manusia sering tidak mampu menilai apa yang aku nilai dan pada masa yang sama penilaian setiap dari kita berbeda dan lain. dan kemudian aku dianggap salah.
kebenaran untuk berfikir.
setiap dari kita punya kebenaran untuk berfikir mengikut tahap yang telah ditetapkan. kita tidak mampu memikirkan sesuatu menjangkaui kemampuan manusia. apa yang hanya kita mampu berfikir adalah terhad kepada dunia masakini lepas dan akan datang. itupun dalam konteks imaginasi dan pada skala yang terhad. kita tidak boleh berfikir secara seratus peratus benar. dan apa yang kita fikir itu banyak yang salah dari benar kerana kita tidak sempurna.
kita selalu mengunakan kebenaran untuk berfikir yang diberi kan oleh Tuhan untuk berfikir tentang manusia dan sikap mereka. kita menilai dan mentakrifkan manusia mengikut apa yang kita fikirkan. Benar atau tidak kita bertindak mengikut apa yang kita fikirkan betul. masa tu penilaian kita pada manusia yang lain akan menjadi seperti kapal ditengah laut. terumbang ambing ke kiri dan kanan dan tidak tetap seperti teguh nya tiang bendera.
Manusia diberikan hak untuk berfikir baik dan buruk setiap perbuatan. Tiada siapa yang boleh mengatakan bahawa apa yang kita fikirkan itu salah atau benar kerana faktanya hanya pada kita dan manusia yang lain mungkin tidak mampu berfikir di aras seperti kita. Kenapa kita kisah dengan pandangan manusia kalau kita berfikir benda yang berbeda dari mereka. Kalau kita kisah tentang pandangan mereka, kita akan menjadi sentiasa salah dan kalau kita menjadi betul pun kita sebenarnya menyamakan aras pemikiran kita dan di masa itu kelainan yang diberikan kepada kita telah terhakis dan hilang. Kita menjadi sama seperti manusia manusia lain.
Tapi, berhati hati dengan cara kita berfikir. Oleh kerana manusia mempunyai kebebasan untuk berfikir, Tuhan telah manjadikan hati kepada manusia untuk memberikan batas batas dalam pemikiran. Hati akan menilai pemikiran kita itu secara lebih telus dan meletakkan jawapan kita pada aras atau level yang mana dapat diterima oleh manusia. Jangan kita menjadi hamba pemikiran sehingga kita menyangka manusia yang lain salah dan hamba hati sehingga menurut secara membuta tuli.
kenangan buat rumah atas pokok. guna kayu kayu dan besi terpakai. buat bumbung dengan plastik beras. buat bekas basuh tangan dengan botol air. dah hilang.
dah hilang kenangan mandi air parit depan rumah. bersama abang dan adik. main bola dalam air. pusing pusing kampung sampai penat, kemudian mandi parit lagi. dah hilang.
dah hilang kenangan pergi tangkap ikan di bendang dengan kawan kawan. dah hilang serkup besi dan kayu. dah hilang segala rasa bawa pulang ikan darat seguni. bawak balik jadi lauk makan malam. dah hilang kenangan kutip siput di sawah selepas musim menuai padi. dah hilang rasa takut mengikut mesin padi.
dah hilang segala kenangan masak kuih cekodok dan cik mek molek untuk mek dan ayah pada petang hari. bawa sebagai bekal ke bendang. buat isi perut di tengah perit matahari. dan hilang rasa terpijak ekor ular di tengah sawah. dah hilang kenangan terjumpa telur itik selonggok di tengah sawah. dah hilang kenangan itu.
dah hilang kenangan bermain mercun sebelum pergi solat terawih. dah hilang rasa cemas dan takut perang mercun antara dua kampung. dah hilang segala ilmu membuat meriam buluh. dah hilang segala macam nama nama mercun yang tak selalu dengar sekarang. dah hilang mercun katak, mercun papan, mercun mancis, mercun bola mercun jet bunga api.dah hilang.
dah hilang rasa melihat orang tuai padi malam malam. dah hilang rasa tunggu mereka siap menuai supaya aku dapat tidur lena. dah hilang rasa melihat mesin padi pada waktu malam. dah hilang rasa rugi kerana tak dapat menangkap ikan di bendang waktu malam.
dah hilang rasa buat kereta mainan dengan enjin dan bateri. dah hilang rasa gembira bila melihat kereta tu bergerak dengan sangat laju. dah hilang rasa buat roket air dengan botol mineral. dah hilang rasa sambung botol mineral sampai panjang tapi roket tak naik.
dah hilang segala rasa bina kubu perang dalam sawah padi. menyusup masuk dalam sawah pak manaf. dah hilang rasa bawah nasik dalam pinggan dan makan dalam kubu sawah. makan bawah tengah terik matahari.
dah hilang rasa bagaimana mandi mandi di KADA. makan buah rambutan langsat dan duku. dah hilang rasa semua tu. dah hilang rasa segala macam rasa.
Manusia selalu rasa tidak cukup dengan kehidupan dan dengan apa yang mereka ada. itu sifat kita. memang itu sifat kita yang telah dijadikan. manusia bila melihat kesenangan orang kita akan rasa diri kita kurang dan lemah, kerdil dan hina. manusia bila melihat keluarga luangkan masa dengan mereka, punya masa dengan mereka, sanggup bersusah payah untuk mereka, kita rasa lemah dan kurang kerna kita tidak dapat seumpama itu. kita manusia sangat lemah untuk melihat sesuatu dalam ruang lingkup yang lebih besar. kerana itu kita kecilkan pandangan kita, kita tutup segala kemungkinan.kita hadkan pemikiran dan menjadi manusia yang sukar merasa cukup dengan kurniaan Tuhan.
Kita manusia selalu pertikaikan dengan nikmat yang diberikan kerana dalam minda kita kita mahu menjadi sempurna seperti manusia lain.kita lupa bahawa segala nikmat yang kita kecapi tidak mungkin pernah dikecapi oleh orang lain. kita lupa bahawa nikmat yang kita pertikaikan itu sebenarnya adalah ujian kepada kita untuk menilai pada tahap mana kesyukuran kita. Kita lupa yang orang di sekeliling kita masih menangis untuk mengecap nikmat yang kita abaikan. Malahan kita pertikaikan tindakan Tuhan yang menyekat nikmat yang kita mahukan. Hati kita telah ditutup dan dikurung dalam sangkar ketidakpuasan hati sehingga kita tidak bebas untuk berfikir menggunakan sepenuhnya nikmat yang dikurniakan.
Kita manusia yang jarang sekali merasa cukup dan puas dengan sesuatu.
Bersyukurlah dengan apa yang ada.ramai lagi manusia di luar sana yang tidak dapat apa yang mereka mahu. bersyukurlah supaya segala nikmat yang kita inginkan akan datang kepada kita. Kita manusia yang lemah untuk melihat segala nikmat itu. kita manusia yang lemah.
bila aku terlihat si miskin yang meminta sedekah dari yang kaya apa yang aku fikir adalah bagaimana kuasa wang meletakkan manusia sehina hina dan setinggi tinggi kedudukan. bagaimana anak cucu dipertaruhkan nasibnya atas sekeping kertas bergelar duit. seorang kawan menjadi musuh kepada kawan yang lain kerana kertas. seorang anak menjadi pembunuh insan yang melahirkan nya hanya kerana sekeping kertas.
Manusia menciptakan satu sistem yang mudah kepada manusia yang lain dengan menjadikan kaya berada di atas yang miskin. hidup untuk mengejar dan dikejar. untung sabut timbul untung batu tenggelam. aku sangat lelah dengan hidup untuk mengejar. kerna betul atau salah apa yang kita kejar, siapa yang pasti, walhal kita tahu kita harus mengejar. kerana penghujung nya pasti ada disana.
mencari sebuah jalan di lorong yang gelap. tiada cahaya tiada rupa. pelesit mimpi yang tiba tiba datang menerobos hilang. katanya takut dengan kegelapan. lalu ia tertidur. senyap dan diam. elok saja dibunuh segala mimpi bukan hidup untuk apa. enak juga bermimpi di siang hari. elok juga bermimpi di siang hari. kekadang lemas juga ya dengan kepanasan. kekadang lemas juga dengan kesejukan.
terus mencari jalan di terowong hingga penghujung.
aku dalam proses mencari diri. yang terkadang sesaat aku lupa aku siapa. sesat. aku bersyukur aku lupa aku siapa. banyak masa dibazirkan. banyak ruang terisi dengan kertas kertas yang kosong dan tidak tercatat. bergumpal menjadi bulat. terisi dengan padat dan tanpa udara. lemas.
malam aku didatangi oleh makhluk besar hitam dan pekat. rupa tiada berjalan bagai malaikat neraka. dua tiga empat bilangan bertambah belum sempat aku bernafas.
kehidupan seperti sebuah tasik, aku andaikan aku seperti tasik yang cetek dan kotor. ada pepohon yang rendang dan subur tinggi dan berisi di depan dan kiri aku. tapi mereka hanya menambahkan kekotoran dalam tasik. berkawan dengan mereka seumpama memakan jasad sendiri. aku tahu.
jaga jaga manusia. manusia disekelilingmu akan sentiasa ingin melihat kau jatuh terperosok hingga hilang harapan lagi.
kita selalu berubah dari satu jasad ke jasad.dari hati ke hati. kita selalu melompat dari satu masalah ke satu masalah. terkadang kita lelah dan berhenti berehat. terkadang kita teruja dan meneruskan hidup bersama harapan. kemudian kita sedar bahawa harapan itu hanyalah masih harapan.
kehidupan seperti dalam sebuah bilik gelap.
kita berehat lagi sehingga waktu tengah hari menjengah. kemudian kita sedar bahawa kita telah terlewat. jauh dari realiti masuk ke dunia lain. dunia keseorangan. kesepian dan penuh tanda tanya. yang ada hanya harapan tadi yang sudah tinggal bekas. sedikit sedikit dan harapan itu pun turut hilang meninggalkan kita. di dinding kita lihat hitam kelam dengan warna yang sekata.tiada beza corak dan tiada beza pastel warna. semua hitam kelam. kita sunyi dan tidak mampu buat apa apa. hanya duduk dan memandang sekeliling. siapa kawan siapa lawan. semua hanya dinding dan lantai.
masa tu kita sedar Tuhan hanya kawan yang terbaik. Tuhan dalam diri kita.
kenapa kita ingin kekal menjadi kepongpong kalau boleh menjadi rama rama. kenapa ingin berada dalam kegelapan kalau ada cahaya. kenapa mengejar bayangan jika jasadnya di depan mata. kenapa. kerana prinsip.
prinsip memecahkan kita. membedakan kita antara satu sama lain. kau aku prinsip tidak sama. bagi dia orang yang mencuri harus dipotong tangan. bagi mereka orang yang mencuri harus diberi peluang untuk berubah. hanya kerana prinsip kita menjadi yang maha ego dengan menganggap tanggapan kita benar dan tetap. lantas ia membezakan kita samada pemikiran kita maju atau mundur. baru atau kuno. membezakan samada usaha kita cepat atau lambat. benar atau karut. pemikiran oleh kerana prinsip kita yang berbeza memisahkan antara seorang pemimpin kiri dengan kanan, walaupun pada badan dan tubuh yang sama.
aku berkenalan dengan ramai orang yang hebat.kiri kanan depan belakang. yang dikiri dengan bebas mengatakan hak kebersamaan, untuk bercakap seperti yang mereka mahu, yang menganggap kelakuan Ali yang berpeluk dengan Halimah kekasihnya di depan umum adalah demokrasi. yang dikanan pula menganggap demokrasi membuta tuli membunuh peradaban melayu yang pada asasnya harus dikekalkan. mungkin untuk perut dan anak cucu mereka sahaja.kita tidak tahu. tohmahan membunuh persepsi.
kalau pun ada lagi waktu waktu kita untuk hidup anggaplah itu adalah kesempatan yang diberikan oleh Maha Pencipta untuk kita menagih semula setiap liku liku hidup yang pada keseluruhannya amat sukar di raih.berusahalah supaya impian itu hanya. jangan berhenti.
sekeping hati kalau tidak di tunaskan dengan sebaik mungkin akan menjadi racun yang penularannya lebih cepat dari HIV.bagaimana pohon diri akan bercambah mekar kalau hati nya sudah rosak dan berparasit. aku kadang kadang takut untuk meneruskan segala hajat kerana manusia sangat berkuasa pada manusia yang lain. tapi aku cuba buang rasa takut itu. gagal.
manusia kerap benar berharap pada sesuatu tanpa mengejar tanpa bersusah payah mendapatkan nya. mereka berharap agar orang lain terlepas peluang tersebut dan rezeki itu akan sampai pada katil mereka seperti durian yang luruh. kenyataan nya setiap manusia cuma punya 24 jam sehari 7 hari seminggu dan 12 bulan setiap tahun dan punya hidup 60 tahun sahaja. usia muda tua dan bangka. aku sangat takut kalau kalau kemiskinan dan kemalasan ini akan aku bawa sehingga ke hari tua dan aku tidak sedar akan itu sehinggalah saat nyawa tercabut. aku takut nanti aku bertemu Tuhan dengan wajah yang tertunduk hina.
'you have to do anything to have everything'
hey hati. kau harus lakukan apa sahaja untuk mendapat apa sahaja. lupakan semua yang sudah lepas dan kejarlah impian yang dahulu pernah hancur. sehingga kita ketemu lagi. kejayaan.
aku melutut di perut bumi mengharap sekelumit dendam akan hadir dalam diri.
setiap dari diri kita adalah pemimpin kepada diri kita sendiri.tidak kira kita ini si penelaah ilmu sipemuas nafsu manusia waima peneroka laut luas. setiap dari jiwa jiwa kita yang sunyi ini pembuktiannya mempunyai kehendak yang cenderung kepada mengecap KEJAYAAN dan pengecap KESEMPURNAAN. kerana apa yang membezakan seorang manusia yang bagus iaitu manusia HEBAT adalah mereka yang telah BERJAYA atau pun GAGAL. Jadi bagaimana menilai kejayaan dan kegagalan seseorang.
Kejayaan dan kegagalan memanglah akan senantiasa dinilai oleh manusia sekeliling kita di luahkan oleh hati hati mereka kalau bukan melalui lisan mungkin melalui kelakuan dan mimik muka. tapi apa yang lebih penting adalah bagaimana kita Menilai kejayaan tersebut, jika seorang penagih menilai bahawa kejayaan nya setiap hari mencuri duit merompak bank adalah satu kejayaan yang hebat, dia sebenarnya menilai kejayaan dalam sudut berbeza. Dan kita pula menilai kejayaan dari sudut berbeza.
Seorang Ketua Troop pengedaran Dadah terbesar di Malaysia En Subkidin merasa sangat berbangga dengan kejayaan anak anak buah nya yang telah berjaya mengedar berjuta juta tan dadah ke segenap penjuru dunia waima ke kutub utara selatan. Kejayaan nya di puji oleh beratus ratus pengedar dadah dari Mexico dan Zimbabwe. Kejayaan di mata dia, tapi di mata Tuhan dia adalah GAGAL. Jadi kejayaan sebenarnya adalah dimata Tuhan, bukan di mata Manusia, kita, En Subkidin atau siapa sahaja yang bergelar manusia. Dia pemimpin tapi pemimpin yang gagal atau lebih dikenali sebagai PENYAMAR. jadi bagaimana kita menentukan penyamar dan pemimpin sebenar.
Seorang Pemimpin adalah mereka yang berbicara mengenai Penyelesaian Masalah dan seorang Penyamar pula sibuk berbicara tentang Masalah di sana sini sehingga mengabaikan cara cara meyelesaikan masalah tersebut. Kebanyakan dari kita tidak sedar bahawa segala yang kita buat ini dinilai oleh Tuhan. Pemimpin kebanyakan nya adalah mereka yang sedar akan perkara ini dan berfikir bagaimana menyelesaikan masalah tersebut daripada sibuk memikirkan masalah dan mencanangnya di seluruh pelusuk.
Untuk menjadi seorang yang berjaya, kita memerlukan sifat seorang pemimpin sejati dan menjadi pemimpin yang sebenar adalah dengan menjadi pemikir kepada penyelesaian masalah berbanding mencanang tentang masalah tersebut.
dalam kehidupan apa yang lebih penting adalah keluarga.bukan sahabat bukan teman atau teman karib kerana hanya keluarga yang mengenal derita dan segala yang telah kita lalui.
kemudian aku tersedar dari sebuah mimpi yang mungkin hanya sekadar peneman malam. seringkali hanyut dan dihanyutkan oleh manusia serba boleh. manusia. ah aku tidak hormat manusia yang menjadi hamba dunia. menjadi sang suara yang akhirnya merosak diri sendiri.
perjuangan. sangat hebat perjuangan. soalnya adakah perjuangan itu adalah benar dan betol. apakah kita yakin dan apakah kita yakin bahawa ahli ahli kita itu boleh dipercayai. adakah pasti mereka menyerahkan syurga nan indah pada masa hadapan. apakah mereka Tuhan. atau mungkin cuma syaitan yang bertopeng kemahuan yang akhirnya kebodohan mereka dipermainkan oleh sang musang. kebanyakan perjuangan benar tidak memerlukan kesombongan dan ketakjuban. biar cuma sekadar berjuang.
Minda yang dapat dibaca bukanlah kuasa sebenar psikologi tapi kuasa yang lebih benar adalah kuasa mempengaruhi minda manusia. bagaimana kita mahu membaca minda manusia sedangkan pemikiran kita mengatasi syaitan dan iblis. bukan. bukan bukan.
setitik bukan senila susu yang rosak tapi sekandang lembu yang menjadi mangsa.hidup lah dalam agamamu dan berjuang lah untuk kehidupan esok.
aku rasa kehidupan aku ini hanya sedikit dan tidak mencapai tahap yang sepenuhnya.tiba tiba aku terasa kosong dan tidak berisi, tiba tiba aku lupa yang aku pernah membahgiakan dan pernah juga mengecewakan. kalau dapat aku lari dari masa lalu yang penuh emosi dan situasi, pasti hidupa aku lebih tenang sekarang. mungkin dia tak tahu yang aku masih mengingati dia.
aku rasa kesakitan ini hanya boleh aku rawat dengan keluar dari kehidupan yang kini membelenggu, aku cuba untuk lari, tapi masa silam terus kejar dan menghambat. apa yang aku ingin, aku ingin lihat kau bahagia. dan kau juga ingin melihat aku bahagia dan aku tahu pengorbanan kau lagi besar atas kesilapan aku. dan masa silam mengajar aku dan kau.
setelah segala macam, aku terasa aku semakin dekat manusia, dan aku rasa kehidupan aku untuk membantu mereka mereka yang dalam kesusahan. tapi bagaimana cara. cita cita mengajara kita untuk terus fokus dan buang segala buruk dan terima segala baik. bila fikir kelemahan, aku menyerah.
selagi kita punya kuasa dan kemampuan, bantulah manusia yang memerlukan melebihi kepentingan diri. kerana Tuhan tahu apa yang kita buat dan kita yakin bahawa Keredhaan Ilahi itu melebihi segala.
"You can have everything in life you want, if you will just help other people get what they want." Zig Ziglar
aku tengok orang berlari lari mencari arah.larian mereka cepat laju deras.entah apa yang mereka cari, keamanan atau sebuah keadilan.yang belum pasti.
tadi bukan sakni,
aku mendengar mereka berbisik tentang sebuah keamanan, yang padanya terselit sebuah konspirasi.konspirasi jahat.yang berhelah menjadi lelah.
tadi bukan sakni,
anak anak muda itu aku lihat seakan hanyut dalam ombak deras, laju arusnya sehingga kebanyakan mereka lemas, sendiri dan sepi.
tadi bukan sakni,
pemimpin pemimpin mereka mencelah tentang kesyukuran. kita bangsa yang harus bersyukur, dan bersyukur itu milik hati sesiapa pun.
tadi aku lihat mereka sibuk mencari maksiat, tapi sakni aku tengok mereka sibuk mengejar akhirat.katanya biar seimbang antara dunia dan akhirat.katanya kubur sendiri sendiri.
tadi bukan sakni,
budak budak yang bermain kotak tidak lagi manjamu mata dengan kalimah, tapi menjamu dengan halimah. bukan lagi berbintang di hati, tapi binatang.
tengok negara ini, pasaknya kukuh.lantainya mozek dari itali dan portugese.ah bangsa penjajah.segala benda mahu dijarah dan diratah. kau aku jadi mangsa.selalu.
aku berharap ada yang mengerti bahawa hati kecil ini bukan sekeras batu, bukan selembut baldu biru yang selalu kau nyanyikan.kerana hati kecil ini sehangat api, selembar helaian sutera yang melitupi bukit. hati kecil ini begitu mahu akan sebuah kejayaan.seperti mana mereka.Hati kecil ini tidak lagi mampu aku kawal, dan tegah.ia semakin besar dan besar.
aku cuba mengerti apa sebenarnya dunia ini.apa yang aku cuba kejarkan dalam kehidupan singkat.adakah cukup dengan sejuta cinta yang terhidang atau sebuah piring jutaan makna.kehidupan jauh dari mimpi.biarpun mimpi itu masih indah.kalau mampu aku titipkan apa yang aku rasa, nescaya dunia tidak akan dapat menerima.aku harap kau mengerti.mampukah mimpi mimpi yang terbayang, siang malam, menjadi realiti. Dan mimpi itu semakin jelas.
Sebenarnya, dunia menghidangkan kita sejuta peluang untuk dicipta.sejuta nada yang bila mana kita usahakan, akan ada tanda tanda secepat mana doa kita diterima. Aku mahu lakukan sesuatu untuk dunia ini. Dunia aku dan mereka di sekeliling. Agar segala yang terhajat di hati, kan kesampaian. Ia terserah kepada kita bagaimana kita mentakrifkan peluang peluang itu. Ada manusia yang mentakrifkan bahawa peluang itu datang nya daripada kesusahan manusia yang lain, ada juga yang melihat peluang itu melalui apa yang dia rasakan, namun apa yang lebih penting adalah bagaimana kita melihat peluang yang terhidang, kita usahakan ke arah itu.
Aku pernah merasa bagaimana kegagalan menghambat kehidupan setiap saat dari aku, setiap jiwa dan mata yang memandang, kekadang membuat kita lemah dengan keinginan, kekadang mata itu membuat kita hanyut sementara dalam dunia yang kita sendiri tidak mengerti, itulah dunia. kita kehidupan kita punya satu niat keamanan dan kemanusiaan.
aku ingin melihat dunia ini menjadi semakin aman, mahu melihat setiap dari jiwa jiwa yang ada di dunia ini dapat merasa apa itu cinta dan kasih sayang. berharap mereka dapat melihat betapa indahnya lukisan, dapat mendengar betapa asyiknya lagu lagu. betapa bernilainya setiap orang daripada kita. kalau aku tidak tegar dengan segala rintangan, nescaya aku tidak mampu berdiri. dan lemah jatuh.
Setiap jiwa daripada kita sangat bernilai, sangat berharga. walau kau miskin walau kau hidup merempat, setiap dari jiwa yang ada adalah sangat bernilai. cuma sebahagian dari kita ditakdirkan hidup sebegitu. kerana itu kita harus berkongsi apa yang dikurniakan.
Setelah lama memerhati, aku sedar yang kita hidup didunia ini, adalah untuk membantu mereka yang lebih memerlukan. Dan ketenangan mula menjengah.
Pertama sekali, kalau sudah ditakdirkan kehidupan kita setakat ini, jangan cuba gapai apa yang tidak mampu digapai.contohnya langit.kerana langit terlalu tinggi dan jauh.kecuali untuk mereka yang sempurna.punya wang dan kuasa.
manusia boleh berubah dalam sekelip mata, kalau esok kau berkata ya, lambat laun lusa kau akan kata tidak.kerana mulut manusia itu sifatnya tiada kunci, kerana itu aku selalu menjaga percakapan walau kekadang aku terlanjur berkata kata. Aku sangat takut untuk berkata kata dan bersoal dengan manusia sekeliling kerana apa yang aku faham, apa yang aku rasa ; mereka rasa tidak sama dengan apa yang mereka rasa; aku rasa. Kerana itu aku lemah dalam berkata kata.lemah dalam berkata kata bermakna aku tidak mampu mencari alasan atas sesuatu kesilapan dan keterlanjuran itu aku biarkan waktu merawat semuanya.kau pernah kata yang waktu itu perawat paling berkesan.
Teman.aku dulu punyai ramai teman.teman kecil sedang dewasa.sehingga segala teman yang ada sudah tak mampu aku bilang.kawan kawan aku miskin, sesak kaya eligent semangat dan lemah.
Tapi.Aku cuma kekadang lemah dengan sikap segelintir yang tidak faham apa yang aku rasa.yang aku luahkan melalui cara percakapan.kalau aku kasar dan membentak, bermakna aku bengang dengan kau.kalau aku cakap secara senyum dan mesra, bermakna aku enak dan mahu berkawan dengan kamu. Dan kebanyakan nya aku senyum mesra. Aku kecewa dengan sesetengah dari kawan kawan yang aku ada, sentiasa memperkecilkan aku, apa yang aku lakukan. kesilapan yang aku buat, tidak mereka cuba fahami masalah yang aku tanggung dan menjadikan itu topik bualan kalangan mereka dan itu sangat sangat membuat aku terasa.Tapi aku sabar.
Bukan senang bersenandung dengan kawan kawan yang sentiasa memperlekeh kan kita.Maaf, aku bukan jenis manusia yang memeperlekehkan mereka yang lain, tidak kira kau miskin ke, kaya ker, hidup penuh maksiat ker, apa ker.janji kau jangan memperlekehkan orang lain.
Kita melayu, kita terlalu skeptikel dengan budaya melayu kita sendiri.apabila kita bercakap mengenai makanan warisan, ada melayu yang memandang budaya itu sebagai sesuatu yang harus dipermainkan dan benda ini melekat dengan sangat kuat dalam pemikiran mereka, soalnya bagaimana kita hendak menghapus tanggapan ini.
Budu itu asalnya daripada satu negeri yang sangat terkenal di malaysia, iaitu kelantan. kalau sebut sahaja budu, semua tahu asalnya tahu gunanya dan tahu bagaimana seorang warga kelantan tidak boleh dipisahkan oleh budu atau dalam bahasa persuratan dan iklan, sos ikan bilis. Mengapa budu sangat melekat dengan rakyat kelantan, kerana budu itu telah menjadi satu budaya, turun temurun sejak sekian lama. jadi tidak salah aku katakan budaya memakan budu itu budaya melayu kelantan.
Manakala keropok lekor adalah satu jenis makanan yang berasal daripada negeri terengganu, negeri yang menjadi persinggahan penyu ketika bertelur, dan negeri menjadi pusat pernyebaran islam, katanya. Bagi melayu terengganu, keropok lekor itu telah menjadi satu budaya bagi mereka, jika sebut sahaja keropok lekor, maka nama terengganu akan terkeluar dari mulut, nah.itu bagaimana budaya meresap masuk dalam masyarakat. lama lama budaya ini akan berkembang ke merata.Yang menjadi isunya, mengapa budu menjadi benda yang sangat skeptikal dengan budaya melayu malaysia, manakala budaya memakan keropok lekor boleh meresap masuk ke dalam masyarakat malaysia.bezanya adalah bagaimana orang menerima budaya tersebut, dan mengolah budaya tersebut menjadi sebahagian dari mereka.
Aku sebenarnya pelik dengan sesetengah orang yang apabila bercakap berkenaan negeri kelantan, mereka boleh tergelak, mereka boleh merasa lucu, segala benda yang berkaitan dengan kelantan akan menjadi isu yang sangat hangat, tidak kiralah makanan, budaya, kegiatan dan sebagainya.bagaimana aku hendak membuang sikap skeptikel ini dalam budaya manusia yang hidup penuh kepalsuan.aku pelik.
Melihat permandangan awal pagi di Kuturaya
melalui satu satunya dimensi yang mengerjah fikiran
dari budaya ke firasat teragung
dari membeda kepada menyamakan
dari merasa kepada memaknakan
sambil menyirup secangkir coklat suam
menikmati dari lidi ke lidi cucuk cucuk sateh
sudah cukup membuat hati ini tenang akan nikmat
yang jauhnya nampak cantik
yang dekatnya nampak jelik
lihat
Dunia itu untuk manusia yang menyombong
yang mau hidup nya di isi keseronokan satu jam
dan nanti orang bertanya dimana sejuknya kota ini
jawablah di kawanan bintang bintang
tempat sang manusia berpimpin erat dengan iblis
tempat nya manusia memilih untuk sesat.
jauh.
kalau kehidupan itu seumpama lalang lalang di tebing sungai, maka akulah lalang lalang itu, yang selalu kau cari di masa kau memerlukan dan kau tinggal semasa aku memerlukan. Dan perubahan itu sangat sangat aku rindui untuk mengenal siapa itu Rasulullah dan siapa tuhan ku, siapa penciptaku.
mungkin terlalu jauh untuk aku kejar si dunia yang ligat berputar tiada hentinya, dan saat ini aku tahu, aku semakin jauh meninggalkan akhirat. aku sedar akan segala dosa dan segala macam cemuh manusia, namun nikmat kehidupan ini seringkali mengejar dan menghambat aku, sering menyuruh aku bercumbu dengan masa dan membiar derita jiwa berlanjutan.
aku derita untuk hidup dalam dunia yang aku tidak redha, dalam dunia yang dikeji tuhan. tapi manusia itu terus mengejar aku, menguji aku, akan apa ada nya dalam diri aku. apa adanya isi dalam hati aku.kosong atau penuh guni amalan. aku berasal dari keluarga baik baik, dari keturunan baik baik, aku risau kalau kalau baiknya ini aku calarkan, kalau nama seindah ini tak mampu aku jaga.dan aku tewas.sekali lagi.
aku bukan tidak mengerti cinta, apa rasa nya dicinta dan melukai.bukan aku minta melukai sesiapa, kekadang apa yang aku buat aku tidak sedar, keseronokan melampau batas. seringkali ketewasan menguasai diri, perubahan yang selama aku rindu jauh dari segala impian yang aku tagih, jauh dari segala jenuh dan perit usaha, satu dua atau tiga.langkah yang masih kabur.
dan aku rindui perubahan itu yang tetap aku harapkan akan muncul.
seorang kawan bertanya pada aku tentang apa yang aku dapat melalui sebuah perhimpunan sebuah badan politik tanah air. dengan ringkas aku menjawab, jatidiri. biarkan aku terangkan dengan lebih lanjut pada ruangan kali ini.
mengapa seorang manusia memerlukan jatidiri dan kepercayaan yang beliau harus pegang dan pasakkan dalam jiwa. kerana setiap saat kehidupan manusia, dia akan menempuh sejuta cubaan dan halangan untuk mengugat diri nya, jika seseorang itu rapuh jati dirinya maka akan mudahlah beliau di noda oleh budaya kuning.
Jatidiri kita adalah melayu
apakah yang dimaksudkan dengan jatidiri. dalam istilah mudah, jatidiri adalah membawa maksud pegangan atau kepercyaan yang dipegang oleh seseorang. yang mana jatidiri itulah yang memberi erti siapa dia dan dimana dia berada. tiap kali dia kehilir atau kehulu, jatidiri nya tidak mungkin akan berubah. sebagai seorang melayu, jatidiri kita adalah melayu iaitu pewaris tanah pusaka ini, sebagai seorang islam, jatidiri kita adalah seorang islam, yang mana islam melayu, dan kemelayuan itu tidak pudar dengan terangnya warna keislaman.
bagaimana jatidiri dibentuk
aku dibesarkan dalam sebuah keluarga yang bukan berada, kekadang apa yang aku makan tidak sehebat kalian, menangkap ikan di bendang untuk menjadi lauk tengah hari itu perkara biasa bagi aku. dan petangnya mandi manda di parit belakang rumah. kesusahan banyak mengajar aku untuk sentiasa kekal dengan apa yang menjadi asas dalam diri aku, iaitu jati diri seorang melayu kelantan.
sebagai seorang melayu kelantan, kehidupan kami kebanyakannya berada di kampung kampung dan aktiviti seharian kami kalau tidak ke sawah padi, kami akan ke kebun, kebun sayur dan juga ulam, ubi dan juga pisang. kehidupan kekadang sangat sukar bila ada masa nya, makan hanya beralas ubi kayu dan juga gula. pada malam nya pula, perlu bersiap awal awal untuk pergi mengaji dengan ayah aku, kekadang sangat perit sehingga aku pernah menangis, kerana digelar lembu, kerana tidak pandai mengaji, masa mengaji adalah masa yang sangat sukar bagi untuk bertentang mata dengan ayah.apabila habis mengajai, kalau tidak ada kerja sekolah, hanya tidur aktiviti aku, kerana kami orang kampung tidak ada masa untuk keluar dari rumah pada waktu malam, kami tidak disarankan untuk keluar kecuali hanya untuk ke kedai ataupun hal hal mustahak, kalau sekadar ingin bertemu kawan, memang tak dibenarkan.
Pernah juga satu malam ada persembahan dikir barat di kampung, bertiket. duit yang dibekalkan sebanyak seringgit sehari, disimpan untuk menyaksikan persembahan dikir barat, katanya malam ini ada persembahan oleh jen endoro, seman wau bulan, dan kajol. hebat persembahan mereka.kemeriahan itu diserikan lagi oleh penjual penjual yang menjual makanan, aku hanya mampu melihat, kerana duit hanya cukup untuk bayar tiket.bila tamat, kemeriahan itu tidak terhenti disitu sahaja, kekadang hingga terbawak bawak sampai kerumah, kedalam mimpi.dan esok nya akan hebohlah disekolah tentang dikir barat tersebut, yang paling hebat pernah diadakah, padahal pada pandangan aku ia tetap sama dengan yang sebelumnya.
aku bersekolah di sekolah biasa, di ajar oleh guru guru yang biasa yang makan gaji oleh kerajaan. tapi apa yang dapat aku bezakan, guru guru kampung ini sangat komited dengan tugas dan tidak mensia siakan segala peluang yang diberikan.guru guru ini mengajar aku bagaimana menjadi manusia berguna pada masa hadapan dan bukan sekadar menurut kata malah menjadi pentafsir setiap kata kata itu.
jatidiri seorang jiwa kelantan dibentuk oleh budaya dan masyarakat.
budaya dalam sesebuah komuniti adalah sesuatu yang sangat bernilai. dan budaya kelantan adalah budaya melayu yang hebat dan agung, bagi aku. apa yang diajarkan di kampung, sudah mampu membentuk jiwa seorang manusia kelantan yang hebat dan kental. beginilah bagaimana seluruh warga kelantan boleh berkumpul sekali biarpun hanya untuk mendengar ceramah ataupun menyokong pasukan bola kegemaran masing masing, katanya TRW keluar taring tahun ini.
jatidiri kita dibentuk oleh budaya dikir barat yang sangat dominen dan menguasai jiwa seluruh warga kelantan, kata saja dimana persembahan dikir barat malam ini maka akan berpusu pusu lah warga kelantan ke sana. kerana ia telah sebati dengan jiwa kelantan. Dikir barat yang bersifat sederhana dan memberi mesej berguna seolah olah membentuk jiwa setiap jiwa kelantan supaya menjadi seorang yang berguna kepada sesiapa pun.
keduanya, jatidiri kita dibentuk oleh masyarakat yang kita tempuh hari hari. sebagai seorang warga kelantan, aku bersyukur kerana kelantan dibentuk oleh sebuah pasukan yang sangat kuat keagamaannya. Untuk sebuah negeri dipimpin oleh seorang ulamak atau Tok Guru bukan sesuatu yang mudah dan kelantan patut berbangga kerana mempunyai seorang alim ulama yang memimpin sebuah negeri sekebun bunga. Agama adalah elemen yang penting dalam pembentukan jatidiri manusia, kalau kuat agamanya maka adalah seperti sebuah pohon yang dinaungi oleh pokok pokok yang lain, rimbun dan tegap.
Sebagai seorang jiwa kelantan, begitulah jiwa jiwa kami dibentuk, bagaimana jatidiri kami yang sangat kuat dengan kenegerian kami, dibentuk sejak dari kecil oleh budaya dan masyarakat. ramai yang cemuh dengan sifat kenegerian kami yang melampau sehinggakan kemana sahaja kami berada, semangat kenegerian itu tidak pernah ditinggal dan tidak pernah sesekali pudar.
begitulah bagaimana jatidiri membentuk kita.menjadi sebuah jiwa kelantan.
jadi bagaimanakah dengan menyertai sebuah perhimpunan badan politik memberi jatidiri kepada seseorang.jawapannya ringkas.ia adalah kerana kita tahu apa yang kita mahu dan kita tetap dengan pendirian kita untuk menuntut setiap hak hak yang telah dijanjikan oleh mereka. itulah maksudnya jatidiri. iaitu pegangan dan kepercayaan yang dipegang kuat oleh seseorang. hak adalah isu global dimana saban hari ada sahaja mereka yang menafikan hak sesebuah kaum itu, dan pada hari itu, mereka menafikan hak aku sebagai seorang melayu kelantan.
sesiapa yang melalui jalan balik dari pasir putih menuju ke bandar kota bharu, boleh merasa betapa peritnya apabila sesuatu hak dinafikan, jalan yang rosak, jalan yang kotor dan banyak lagi. ia adalah kerana hak hak kita yang selama ini dinafikan oleh mereka.
ia sesuatu yang sangat sunyi jika mengatakan bahawa penyelesaian dan masalah adalah jalan yang berbeza.
kerana sekuntum bunga dipadang pasir yang sifatnya sangat mencabar dan mendebarkan, akhirnya aku memilih untuk mengatakan ia hanya sekeping bunga plastik, namun ternyata ia sangat bernilai. walaupun masih jauh lakunya dengan sekuntum bunga, ia tetap bunga. manusia kekadang sukar dijangka kekadang kekiri dan kekadang kekanan, namun kemana sahaja arah yang kita kejar dan lalu, jatidiri itu satu kemistian, jangan buang jati diri kita hanya kerana jalan yang kita pilih jauh berbeda dari jalan jatidiri yang kita pegang.
jatidiri itu adalah seumpama sekerat akar yang menyokong sepohon pokok, jika kukuh jatidiri nya maka kukuhlah jua apa yang dipegangnya. maka peganganya tidak mudah diluntur oleh anasir. atau mungkin kekadang turut jua terserong ke barat dan timur, tapi pegangannya tetap kukuh.
ramai manusia yang sesat disini, mereka mengatakan agama itu tidak penting, amalan itu tidak penting apa yang penting adalah pegangan. kalau pegangan kau itu islam, maka akan tetaplah kau dengan islam. kenyataan nya apa yang kita pegang kalau tidak disemai dengan air yang cukup dan tanah yang kuat, untuk berpaut, akhirnya akar itu akan layu ataupun hanya akan tercabut, awal dan lewat nya hanya pada jenis akar itu, tunjang atau serabut.
seperti sekuntum bunga di padang pasir, kau cantik dipandangan dan wujudmu jauh di sana kau selayaknya tetap sesuatu yang harus dipuji, kerana untuk berada disini bukan sesuatu yang mudah. lahiriahnya kau sangat bernilai kepada mereka yang mengerti kepentingan mu, jangan kau luluhkan harapan mereka yang sentiasa mengangkat kau ke atas. dan kau bertuah kerana kau sekuntum bunga di padang pasir.
mungkin jalan kita yang membedakan apa kita dan siapa kita, jalan apa yang kita pilih dan sahabat apa yang kita pilih, itu menentukan siapa kita, mak aku selalu berpesan, kalau 'saing' mu dikalangan penjual minyak wangi, suatu hari nanti kau akan menjadi wangi seperti mereka. dan ia memang benar.
bersyukurlah kau bunga padang pasir, walau keadaan mu dihentam cuaca yang ganas, kau tetap masih disini, menyeri kebanyakan hidup.
tetaplah dengan peganganmu wahai bunga padang pasir, kerana untuk mencari seumpama mu sangat sukar dan menjadi seperti mu jauh dari kesenangan.
ingtlah bunga padang pasir, yang menguatkan mu adalah akar, dan yang menyerikan mu adalah kuntuman bunga, jangan kau kuatkan diri kau dengan kuntuman bunga mu yang indah, kerana nanti akan datang kumbang perosak.dan kumbang itu sifatnya memusnah. yang menguatkan mu hanya satu. Dia.
kalau kau tanya aku apa yang aku dapat hari itu, jawapanya aku dapat membedakan apa itu bunga dan apa itu racun, aku dapat membedakan yang mana hak dan yang mana batil, mana hiburan dan mana pengajaran.mana jalan dan mana semak.yang mana jatidiri dan yang mana pentingdiri.
aku bukan selalu melalui apa yang di panggil sebagai perhimpunan.kali terakhir aku mengikuti sesebuah perhimpunan adalah dulu, lama dulu masa perhimpunan royalti di stadium kota bharu. perhimpunan kali nie adalah bagi aku sesuatu yang amat berharga bagi rakyat marhain, itu bukan kerana ia di pimpin oleh pembangkang, tapi ia dipimpin oleh rakyat sendiri.
aku bukan lah dalam senarai manusia yang terlalu taksub dengan parti politik, dan aku juga bukan manusia yang terikut ikut bagai orang bodoh.kata mereka, aku ini suka terikut ikut dengan agenda pembangkang, tapi kenyataan nya biar aku betulkan.apa yang aku buat adalah mengikut kata hati sendiri.kerana bagi rakyat marhain seperti aku, perjuangan menuntut hak adalah penting. aku juga menyokong kerajaan jika apa yang dilakukan itu baik dan memberi kebaikan kepada muda mudi.
setiap benda yang dianjurkan bukan bererti sesuatu itu membawa seratus peratus keburukan, tambah tambah lagi kalau yang memimpin nya adalah dari pimpinan islam. kalau dipihak yang satu lagi, mereka menuduh bahawa program yang dianjurkan islam bersifat menghasut dan memburukkan, manakala program hiburan yang mereka anjurkan membawa sejuta kebaikan. yang nyata, sebaliknya berlaku.
perhimpunan kali ini adalah merupakan perhimpunan besar paling aman yang pernah dianjurkan oleh pihak pembangkang kalau dibandingkan dengan perhimpunan bersih sebelumnya. mungkin pengaruh pilihanraya yang makin dekat membuatkan kerajaan sedikit fleksibel dengan pihak pembangkang.kalau sebelum ini, apa jua yang dilakukan oleh pembangkang akan di tentang habis habisan oleh pihak kerajaan, segala tentera FRU akan dikerah ke segenap pelusuk bumi kl untuk menyekat kemaraan mereka ke putrajaya. ingat, aku bercakap ini atas dasar aku seorang manusia biasa, bukan ahli politik malahan juga penceramah bebas.
kemenangan yang diraih pada perhimpunan kali ini adalah kemenangan rakyat yang menyokong. mungkin ada sedikit kelemahan dari segi pihak penganjuran contohnya seperti sampah sarap yang banyak bertaburan. ada peserta yang memijak mijak pokok bunga hiasan.itu walaupun sedikit, boleh mencerminkan budaya masyarakat melayu islam di malaysia.
baju ini aku dapat semasa aku datang ke malam countdown himpunan kebangkitan rakyat. apa yang aku lihat, polis adalah sangat peramah, sukar untuk melihat polis memberikan kerjasama yang sangat tinggi kepada rakyat.mereka pun rakyat juga. aku rasa design baju ini sangat cantik dan sesuai dengan selera aku, jadinya tidak sia sia aku menghabiskan duit. aku memang suka mengumpul baju baju seumpama ini, kerana bagi aku, t shirt adalah medium yang sangat sesuai untuk meluahkan rasa.
ini Mislina, dia sudah popular.katanya dia pelakon yang sangat hebat.dan aku rasa dia sangat hebat kerana mampu menjadi pengikut pihak pembangkang walhal kita tahu, siapa siapa yang mengikut pihak pembangkang, akan dibangkang sepenuhnya oleh kerajaan dan sekutu. tahniah. tahniah ini untuk jalan yang kau pilih, bukan personaliti.namun senyumnya sangat manis.
realitinya, kerajaan yang ampuh akan membuat rakyat merasa cemuh dan bosan. dengan skandal kerajaan yang berjuta juta dolar, fitnah fitnah yang sengaja dilemparkan kepada sesebuah pihak, membuatkan rakyat merasa tiba masanya sebuah perubahan berlaku.
kebanyakan pihak pandai menggunakan jiwa muda muda ini untuk meneruskan apa yang mereka gemar, walaupun benda itu salah atau benar, bagi mereka ia tetap benar.
'berikan aku satu 10 orang pemuda yang bersemangat, akan aku goncangkan dunia'.
bagi jiwa pemuda seperti aku, kebebasan itu perlu, dan kawalan kepada kebebasan itu juga perlu memandangkan negara kita adalah negara islam, takut kalau kalau apa yang kita gelar kebebasan tidak selari dengan tuntutan agama. tapi aku hairan bagaimana satu pihak yang menolak ajaran islam, mahu mengawal kebebasan.adakah mereka mempunyai hak atau limitasi pada kawalan itu atau kawalan itu adalah satu lagi permainan peti undi.
anak anak muda ini, yang aku lihat ini sedang mencari cari apa yang dipanggil sebagai jati diri.masih mencari cari sebuah tunjang yang bila mana dipegang, boleh diharap.
aku mungkin masih cetek dengan kehidupan.dengan apa yang dipanggil keseronokan atau kebebasan.setiap manusia mempunyai jalan hidup mereka tersendiri dan setiap mereka mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan jiwa masing masing.
bukan kau aku dia dan mereka saja, tapi semua.
Pekan frinjan satu lagi medium untuk anak muda meluahkan apa yang mereka rasa, melalui lagu, sajak, pentomin dan teater.ia sebuah jalan yang tidak kurang hebatnya.tapi kebebasan yang terlalu kuat dibimbangi boleh menghanyutkan.
kelihatan dua tiga pelajar sekolah menghisap rokok dunhill.enak katanya sambil menyarung pakaian sekolah. 'melayu pewaris negara' kata seorang non malay berseloroh di depan aku.nada nya bunyi mengejek. segan.aku tunduk.kalau sudah di katakan melayu, baik buruk ditanggung oleh semua.jika buruk, maka buruk lah seluruhnya. aku lihat mereka hanya seperti lelalang yang lentok nya sentiasa mengikut arah angin.kalau inilah pewaris bangsa, 'takkan melayu hilang didunia' hanya satu lagi ejekan pada kita.
sejujurnya aku bukan mahu mengatakan bahawa bukan melayu itu apabila melihat melayu yang teruk akan menganggap seluruh melayu teruk tapi memang bagi orang melayu seperti kita, itu yang kita fikirkan. katanya kita mengatakan bahawa anak muda sekarang adalah merupakan pewaris bangsa dan negara, tapi walhal kita seolah olah tidak mahu perkara sedemikian berlaku, kita mendesak jiwa anak muda ini dari mengikut perubahan dalam diri mereka.bukan yang buruk tapi yang baik.
bukan aku mahu mengatakan aku baik dan terlalu baik tapi bagi manusia yang seperti aku, marhain seperti aku yang lahirnya dikalangan keluarga yang susah, aku sedih melihat kemusnahan anak muda sekarang. melihat bangsa lain yang terus menerus mengejar cita cita, mahu menjadi director, mahu menjadi doktor, mahu menguasai sejuta bahasa dan ilmu yang dikurniakan oleh Allah, bangsa melayu yang muda dan bersekolah masih hanyut dengan budaya luar.budaya yang terus diagung agungkan oleh pemerintah.
katanya semalam kiamat gerombolan gerombolan pentafsir menulis segala hasil mahsul bumi membuak mengurnia sejuta khazanah untuk manusia tapi katanya semalam kiamat
katanya semalam kiamat kota kota pencakar langit akan meruntuh ke bumi menyembah tanah piana piana di laut akan bergolodak membuih sisa sisa terperam sejuta tahun. tapi katanya semalam kiamat.
katanya semalam kiamat maka bertempiaranlah manusia manusia mencari tempat berteduh dari segala hujan meteor katanya. yang ekornya bercahaya badannya berkelip sinar sepuluh. tapi katanya semalam kiamat.
katakan semalam kiamat akan runtuhlah kerajaan langit berpina berderailah puak puak yang kononnya berwuduk air kaki berminumkan ludah ludah manusia pembohong. katanya semalam kiamat.
katanya semalam kiamat akan bersatulah puak puak hitam dan putih membentuk warna sejagat yang kononnya mempertahan sulit sulit suatu perkara rahsia yang telah lama tersimpan kejap.
katanya semalam kiamat lelalang yang dahulunya mengikut alunan dunia kekadang ke timur, kekadang ke barat, kini berdiri tegap menunduk ke bumi mencari akar dan akal. pesongannya bukan dikit tapi luas tarian kuda yang membelah budaya, psykologi katanya.yang kulihat hanya keji.
lihat bangsa aku ini, kecil kecil sudah mengendong masalah. terpulas dalam pelukan budaya memperkecil agamawan. musnah dalam kekalutan duniawi.mahu menjadi penyanyi katanya.
ia sesuatu yang sangat sunyi jika mengatakan bahawa penyelesaian dan masalah adalah jalan yang berbeza. kerana sekuntum bunga dipadang pas...
About
Azman Ismail,30+
contact : superazman1@gmail.com
Republic Of Kota Bharu
Currently further Doctorate in Civil Engineering UiTM Shah Alam
Play guiter rides yamaha blogging is temporary
Tun Mahathir is his idol.
Ask me anything about life and environment
kehidupan itu seperti sebuah buku.coraknya, isi nya, tebalnya ditentukan oleh kita sendiri, harganya ditentukan oleh kita sendiri.mahal sesebuah buku itu bukan pada tebalnya, tapi pada kualiti isinya.