Thursday, August 22, 2019

terperangkap dalam jisim kertas

ia seperti hari hari biasa. kelam dan gelap. dalam kesunyian yang terpendam lama. melankolik yang tidak berkesudahan. sungai usang yang mengharap mengalir semula. langit yang terhenti mengharap dihidupkan kembali. daun daun gugur yang mengharap diberi sinar baharu oleh sang pencipta. aku sungai langit dan daun itu. telah gugur segala semangat, yang tertulis dalam kalam bisu. menjadi keping-keping yang tidak berjasad. tiga puluh muka surat, tiada satu pun yang berwarna indah bercahaya. atau mungkin aku hanya si pengharap yang kabur dalam muka surat aku sendiri, terperangkap dalam helai helai kertas, terkurung dan sepi. sedang muka surat ini semakin menipis, dan isinya semakin mendatar. kemuncaknya hambar. biar kulit setebal petala.

Mungkin aku juga sang pencari suaka. mengharap belas yang tidak menyinta. raja segala raja yang berpaling muka. sedang kasihnya untuk segala hamba. atau aku bukan hamba.

esok cahaya mentari jumaat pasti akan kembali bersinar. 


Sunday, August 4, 2019

membaiki mimpi Laila

adakah belum cukup lagi segala kata-kata yang terangsang untuk memuaskan rasa. biar segala ayat dalam kepala terhambur, belum tentu manusia memahami. belum tentu yang memahami, dapat rasa apa yang dirasa. tanpa kata-kata pun yang mengerti akan tetap mengerti.

angin angin yang menderu berkilo kilo ke muka. jenuh menahan rasa dalam diri si Laila. teliti dalam mengkaji hingga lupa siangnya telah datang.

kaku terkurung dihimpit dalam kotak kaca. minda dicekup rasa duka dalam bahagia. tangan terikat oleh tali tali janji. kaki rebah, dalam lumpur penuh duri. tersungkur lemas hampir mati. Mana satu emas mana satu kaca, atau telah takdir harus memilih yang salah. telah aku titip kata-kata lama menjadi doa, lalu realitinya hampa.


Monday, July 22, 2019

terbang antara pelangi

hidup ini hambar tanpa masalah.

selapis langit yang indah, berjalur pelangi. tari ikot rentak hujan, dan mentari. riang dalam dakapan awan. sepi menunggu detik lagi. untuk kembali. sepi. 

Telah datang untuknya malaikat mimpi membawa khabar bagi segala janji. benar bagi yang mengerti. kau sumpah dia gunanya tiada. jika benar hancur, ketanah jua tempatnya. kejam. kalau masih melarik mimpi. dalam kamar terindah, biar cantik dan bersih. pelangi tadi tersenyum.

berita pelangi ini, datang dalam madah terindah. baris puisi buat si gundah. seronok biar tersorok. hancur jangan lebur. kemana lagi hendak dibawa. menjadi racun menjadi nyata. 

bisakan esok pelangi ini kembali.


Monday, July 15, 2019

menyuluh cahaya langit

memandang sepi dihujung pintu. terduduk dalam baris baris ayat tidak mudah untuk difahamkan. dia kelam dalam berkalam. lurus dalam sempit. mata tepat ke hujung bendang budi. katanya untuk bekalan anak cucu di hari muka. tapak yang disusun, kian mencampakkan hasil. empat puluh patah kata bercelaru dari bendang itu. biar saja.

di hujung langit, dua cahaya tersimpan, dalam madah berpujangga. menuntut segala jiwa jiwa yang patah kembali pulang. dalam biar dalam. yang terkudus akan kembali segera, biar enak merasa syurga, bukan terus larut dalam dosa. sombong. simpan dalam pahala. siapkan senjata dari tulang temulang biar senang menjadi lenang. lima puluh perkataan penguat jiwa kecuali penguat jiwa. biar saja.

 



Sunday, June 10, 2018

syaitan dari syurga

syaitan yang aku lihat ini besar besar, gemuk dan kurus. hitam legam dalam setiap mimpi. berdiri memerhati dari jauh. dengan mata kemerahan, botak dan tidak bersenyum. nampak jahat tapi aku rasa mereka baik. bukan selalu mereka datang, kekadang. tidak bertegur. tidak sempat bertegur. berkawan.

syaitan syaitan ini dari syurga. yang katanya luas dan ada bidadari. siapa perlukan bidadari. aku cuma mahu masa silam. disulam kembali semula. dalam sebuah rangkap yang aku faham sendiri. adakah hidup ini akan tersia-sia. adakah angka tiga puluh ini akan tersia. atau tidak nya menjadi sampah, berbicara sendiri. terbiar.

memang. syaitan syaitan ini dari syurga. kerana syaitan juga layaknya di syurga. semua layaknya disyurga. hanya kita yang membeda beda. sentiasa membeda-beda. kerana kau lagaknya seperti tuhan, aku pula layaknya cuma manusia.

kembali.

Friday, June 1, 2018

melurut cahaya jingga

ayat yang terkumpul semalam terasa macam tak boleh ditahan lagi, mahu diluah. Bila ada kesempatan, sedikit ia hilang. Padahal ayat itu penuh dalam ingatan.

Tak perlu lagi nak membangga dengan hijau nya warna daun, putihnye awan dilangit kalau kita tahu, kita hanya manusia dari tanah.

Monday, March 26, 2018

menangkap makhluk pencuri haruman

ia akan bermula dengan sesuatu dan berakhir jua dengan sesuatu, tanpa perbicaraan dia dituduh bersembunyi. Jauh tanpa selidik. 

oleh kerana cerita ini panjang, aku simpulkan dalam definisi. menurut istilah yang aku sendiri mengerti, cerita sang Mahkluk pencuri haruman dunia. yang meneroka disegenap benua mencari bauan terharum dikurnia oleh Dia, haruman yang kekal selama ada masa. Aku tahu itu. Wajahnya buruk persis bauan bangkai. mencari haruman dunia, untuk mengubat bauan sendiri. itu dia. aku tahu itu dia.

Dalam garis-garis cahaya matahari terakhir dia menyelinap. dibalik setiap garis tersebut, ada antaranya askar-askar penjaga bunyi yang sunyi cuba menyerang namun gagal lagi, sehingga cahaya matahari itu hilang menjadi kegelapan. sehingga malam terpisah dua. askar-askar bunyi itu mati, menjadi lagu yang berhenti, hidup setelah dimain semula. sehingga itu pencuri haruman itu bebas mencari haruman.

ada riwayat berkata, si pencuri ini pernah bersua dan ditangkap penjaga masa. sehingga terlepas semula. banyak cerita berlegar tentang dia. Wajahnya buruk, bengis dan ganas, kurus dan hitam.  Makanannya haruman wangi, suaranya tidak lagi berkata-kata, setelah ditarik oleh askar-askar bunyi. dia diharamkan hidup oleh mereka, yang punya kuasa. sehingga masa ini, tiada siapa yang tahu bagaimana dia bebas.

Makhluk pencuri haruman ini pernah mencuri haruman dunia, disatu sudut. sehingga hilang lagi rasa bahagia. sehingga manusia berperang sesama mereka. mencari bahagia masing-masing. untuk kekal bersuara. untuk kekal menjaga haruman sesama manusia sehingga lupa, yang ingin diperangi adalah makhluk pencuri haruman, bukan sesama penjaga. disatu sudut perang berkuasa. bila mana haruman tidak lagi ada.

jaga-jaga Mahkluk pencuri haruman masih ada, diantara setiap garis-garis cahaya. bertarung bersama penjaga bunyi setiap masa, sehingga selesai segala. kerana itu haruman wangi tidak lagi ada.