Tuesday, June 27, 2023

Memahami bahasa langit

menyambut tangannya yang dingin dikala suasana masih terus cemburu. dalam sarat-sarat bicara, terlopong menggaris seribu helai kata, bak harus dimengertikan semula, segala kata-kata dulu yang telah sarat menjadi sisa. Dan sisa sisa menjadi memori yang tak mungkin larut.

cuba memahami bahasa langit, dalam karya tinggi yang unik sukar untuk kita mengerti. atau harus kita belajar atau harus kita belajar lagi, dengan pena dan dakwat dengan kertas dengan guru, antara dosa antara pahala. kita pun bukan apa, sekelumit debu menjadi hama. larut dalam malam.


Saturday, January 28, 2023

Meleret awan putih

Kalau aku boleh habiskan lukisan dalam ayat ayat yang senang untuk kau faham, wahai jiwa. ayat yang kau akan faham dan faham dan faham. Atau perlu kah aku meleret awan putih untuk sekali lagi bercerita buktikan betapa aku mahu kesana, mahu menggemudi rasa yang tidak senang ini dan jiwa jiwa yang membuas bagai singa.

Aku tidak punya segulung awan untuk itu, tidak pula aku punya secarit kenangan membalas serangan jiwa yang memberontak. dari tinggi tinggi puncak awan sana, aku tahu kau sedang memerhati. Dari segenap celah langit, kau memerhati dengan segala rasa, tapi aku tidak punya kefahaman pula tidak punya rekayasa yang panjang atas minda yang luas.

Awan putih yang tinggi dan terang itu juga. Masih dalam dakapan Tuhan. Manakan bisa aku mengadu duga pula.




Cerita tentang sesuatu yang hilang

 



Menyelusuri perjalanan singkat yang dirasakan sangat panjang. Menggemudi jiwa yang tenang tapi masih seperti laut yang mengganas, Menerima suatu hakikat dalam jalan yang maha luas dan cuba berpijak di tanah yang gersang. Kalaupun masih ada kupu kupu yang masih sudi singgah, mana tidaknya aku menunggu bulan, kalau ada lagi jiwa-jiwa ini, mana tidaknya aku masih berharap panjang.

Atau aku masih berharap pada suatu mimpi yang panjang. Untuk datang dan menggemudi aku lagi dan bukannya kita tidak mencari, terkadang kita cuma tidak jelas tentang apa sebenarnya yang hilang. Harus juga terkadang hidup dalam penafian, tentang sesuatu yang hilang, tapi masih kita lelah menjaga yang ada, sehingga merasa yang hilang lebih baik. 

Aku boleh menulis berjuta karangan, dan masih boleh terus membuat andaian, tapi aku masih belum jelas apa yang hilang.