Sunday, August 28, 2016

patung kain

mereka ini patung patung kain. berkepala putih berbaju dengan senyum. matanya bulat besar. rentak tarinya gemalai dan mempersona segala mata yang memandang. sadis dalam hatinya bagai ribut di lautan, tidak bertuan dan hancur. pujian kepadanya umpama pedang mengganas. berdarah dan sentiasa membusuk. di sedalam dalam pelusuk hati. lalu dia mati.

dunianya belum elok. biarpun telah dia simpan sejuta harapan, tanam segala benih kehidupan, walau sebanyak mana titis titis air mata nya tidak mampu menjadi sungai, walau sebanyak mana roh kudus yang dikorbankan, tidak layak menjadi kupu kupu denai segala duka.

malam ini lewat. dan resah. sejuk terkujur di bentang alam. esok belum tentu senja. ini mimpi atau realiti. atau sekadar tipuan hidup yang kalau lebih menarik dari helaian nyata. kata dia esok ini aku bakal bermimpi. dalam syurga dan aku akan aman dan segala denai denai duka yang membujur, akan memutih, hilang dari pandangan. perlahan lahan. lalu dia menjawab, jawapan tidak bersoalan.

"ya dia semakin hidup"




Wednesday, August 24, 2016

Tahun tahun lalu

sebelas dua belas tiga belas empat belas lima belas enam belas.

Tahun tahun ini cukup panjang untuk aku, untuk mengenal erti sesal dan cinta. tentang rasa rasa ini yang masih berbekas. banyak dan tidak kurang. penting dan memenatkan. mana satu rasa yang benar, tidak akan bosan. elok dan sopan. dalam dunia maya. dia menangis untuk aku. mata kecilnya menangis untuk aku, suatu masa dulu. lalu masanya disia siakan.

berikan aku kuasa segala deria, agar aku dapat merasa kembali rasanya. yang sedikit berbekas dalam sini, dalam sini. sekejap walau sekejap. tolong imbangi antara dunia dan fantasi. kerana aku dibayangi sunyi. lesu dan kelu. roh ini mahu kembali lalu disekat. dengan segala mukaddimah. tetap hati ini masih rasa, sayup depan, sayup dan sunyi lagi. lagi.

buka balutan ini. lihat kesannya. parut dan luka. yang aku sendiri cipta.

Monday, August 1, 2016

Pasir dan Ombak

demi pasir dan ombak yang punya jiwa sentiasa sejuk dan menenangkan. tidak selalu kita punya rancangan yang akan mendedahkan kita pada kejayaan. paling tidak pun kita terus berjalan tanpa perlu tersungkur dan rebah kebumi, tanah dan segala isi mula berbicara tentang kita, yang kita sedar kita bukan siapa siapa. harapan esok nya kita lupa bahawa masa depan harus punya cahaya. biarpun semacam kegelapan selubung, demi masa depan.

pasir dan ombak ini seolah olah menjadikan kita makanan nya. bukan bukan sengaja. malahan secara kebetulan. pasir dan ombak ini menjerit jerit melolong mahu disumbat makanan. Oleh jiwa jiwa yang ketandusan kosong dan mengerikan. Guruh guruh jiwa seolah olah mahu dikuatkan. kau tahu yang ia mahu dikuatkan. berselera ia makan.

Cuba kau lihat pasir dan air, mana kah persamaan nya. samada atas dasar keterwujudan atau atas dasar kekuatan. masing masing punya lagu dan irama. bukan sia sia iramanya. bukan kepalang alunannya. bisa menyesatkan manusia yang mahu sesat. pasir pasir dan air air ombak ini sangat sasa dan kacak. elok elok meneliti risau jatuh teluk, elok elok merasa risau menjadi sasau. pada pasir dan ombak.

dan demi pasir dan ombak ini, aku mahu kembali.



Saturday, February 20, 2016

bulan ditutup awan

hidup harus sentiasa kuat dan berani untuk menerima risiko dan harus sentiasa ingt dalam kehidupan penuh dengan cubaan dan harapan. kekadang kosong dan kekadang berisi. sisi gelap yang sentiasa menjengah segenap jiwa tinggalkan dan terus hadapi hidup. kerana hidup untuk manusia yang layak berfikir.

Syurga malam selalu tertewas dengan keasyikannya. mendung dan mendayu ke seluruh pelusuk alam. menjengah jiwa jiwa nan sepi dan lara, terbuai dalam keasyikan. larut dan menyerapi seluruh susuk tubuh. seolah olah sebati dalam acuan dusta. Malam ini dia menyebut namanya, kulit dan nafas seakan akan lesu dalam iringan lagu ibunda. hanyut ke hilir sungai cita sebuas sedalam cinta manjalara. bertebaran segala onak di sepanjang perjalanan, bunga bunga terbang, terapung menindakkan segala hukum manusia.

Lihat sepanjang jalan ini, tanahnya tidak berumput lumpur gersang seolah olah dahaga air setelaga. tanah ini usang tiada siapa duga, enak enak mentelaah ilmu hingga lupa dosa pahala. Lihat tanah ini, bukannya kau seorang merasa, tiap tiap sinis nusta mereka kau carik dalam debunga syurga. Binatang yang dahulunya penjaga kini buas harga dirinya. lumpur dalam ketawa, kau nafas pesong putaran masa. mengapa indah dipandangan kalau hati tidak kau rasa.

Bulan malam ini ditutup awan lagi, segenap jiwa bercelaru dalam perjalanan jauh dan panjang, telanjang dirobek nafsu. lihat tanah ini, masih gersang dan penuh tanda tanya.

Monday, November 9, 2015

pintu besi

terperangkap dalam bilik kosong yang ada hanya sekeping pintu besi dan sebuah tubuh. terpelanting jauh dari manusia peradaban, kian jauh ditarik oleh graviti minda dalam dunia banyak dimensi. berbogel dan dibogelkan oleh masa. maruah dihentak hentak dan dilanyak manusia, kian hancur dan terperusuk ke penjuru.

terperangkap dalam bilik yang ada hanya pintu besi ke dunia sana, kabus dan ribut apa lagi yang mendatang. bukan aku tidak tahu kerenah dunia, jelek dan keji.

Friday, May 22, 2015

Sindrom Takut


aku ada satu sindrom yang dinamakan sindrom takut, dah lama aku sedar keburukan sindrom ni pada diri aku. aku punya sindrom takut gagal, yang mana bila aku buat sesuatu aku takut kalau kalau tindakbalas yang aku dapat tidak seperti apa yang aku nak. aku takut untuk melihat wajah wajah yang memberi harapan ini kecewa dengan hasil apa yang mereka dapat dalam erti kata lain, aku tak nak mengecewakan. lalu alasan dan segala macam jalan aku cari untuk mengelak dari berdepan dengan rasa takut itu yang pada akhirnya aku jatuh dengan perasaan sendiri gara gara ingin menjaga hati orang lain.

aku punya sindrom takut untuk mencoba sesuatu yang diluar batas dan bidang aku sepertinya aku ini tinggal didalam satu botol kaca dan akal hanya mahu mencuba apa yang ada di dalam jangkauan minda yakni didalam botol kaca pemikiran. Lalu aku menjadi takut dan jumud dengan segala idea idea baru yang datang serta semua macam peluang yang akhirnya membuat aku sendiri terkebelakang dan tertinggal jauh dari dunia. aku hidup dalam dunia sendiri.

aku punya rasa takut untuk mengembangkan pemikiran dan selesa dengan kehidupan tanpa apa apa. aku takut untuk sedar yang aku ini hanya manusia yang rendah dari manusia biasa. Rasa takut ini saban hari membunuh aku dari dalam dan setiap cubaan untuk bangkit kembali dari masa lampau seakan akan asid yang mengakis sendiri. Bukan aku tidak mahu membuang rasa takut ini tapi ia sangat tebal dan kalau pun aku berjaya, aku mungkin gila. 

aku punya rasa takut untuk melakukan sesuatu yang aku sendiri tidak tahu apakah ia kerana aku tidak pernah melakukannya hanya kerana aku takut.

Sunday, May 10, 2015

sebenarnya

sebenarnya aku kosong dengan esok dan kelmarin, dan terasa sangat sesak dengan perit dunia dan segala macam rasa yang terselubung dalam diri. terbang aku terbang, untuk sebuah khayalan. kalau ada sebuah sayap telah lama aku terbang. Tuhan kenapa tidak lagi mendengar? atau aku yang sebenarnya bisu. bisu hati dan buta mata.

sebetulnya aku telah lama mati rasa dan kecintaan, yang aku lihat hanya patung patung dan candu wirasa. mana lagi kau nak bawa aku tuhan. jiwa ini telah lelah dan hancur dan kini kian menghancur.