Monday, March 23, 2015

hidup sebegini

hidup sebegini kekadang membuat aku ini lemas. lemas dalam udara yang singkat dan beracun. hidup sebegini membuat jiwa aku terjerat dan merasa diikat pada sebatang tiang. dan tiang itu besar dan kelam. diatasnya punya dedaun yang tumbuh berwarna gelap dan beracun, menunggu masa untuk jatuh ke bumi.

Hidup sebegini seperti aku bermimpi bertemu makhluk yang hitam kelam. sosok tubuhnya sekejap mengembung dan sekejap mengurus tiada rupa yang jelas dan nyata yang ada cuma warna kegelapan. banyak dan memerhati dari depan muka. takut dan seram.

hidup sebegini seperti kalau mandi kau terasa seperti ditarik tarik dan dihenyak henyak ke dasar. dari atas dan dari bawah, untuk melemaskan kau. sepertinya kau tidak layak mengira lagi nafas kau disini, dan menghitung bintang malam. dan perlahan lahan kau tenggelam ke bawah kerana sudah penat dengan hidup sebegini. dan disaat kau redha dengan kematian sebegini, kau sebenarnya sudah mula mati.

hidup sebegini seumpama kau berdiri ditengah tiang diatas satu gunung. dibawahnya duri yang panjang dan tajam menanti mangsa seterusnya selepas mereka. durinya berkilat menerobos setiap isi badan mangsanya dan nyata kaulah calon mangsa tersebut. di minda kau hanya satu untuk terus hidup dan bertahan tapi bagaimana mahu kau terselamat dari hidup sebegini.




Kota Yang Mati

Seperti sebuah kota, yang dilindungi segala malaikat dan panglima kekadang juga dilanyak dan dihentam oleh anasir pemusnah dan disetiap saat itu angin perubahan selalu menderu ditelinga nya dan hilang dalam sekelip mata. Kekadang disetiap angin angin itu didatangkan harapan dan impian bersama, biarpun hanya sekadar ilusi yang panjang dan berepisod.

Kota ini didokong oleh Nila setia sang durjana perosak diri. Lebih dari segala yang ada. bilamana masa yang telah pergi dia mengira ngira setiap masa yang terlepas, sedangkan kebanyakan masa yang terlepas itu adalah masa depannya. Lebuh yang dilalui bagai arus laju dan sentiasa menghambat jiwa jiwa yang ingin berehat. Katanya ini belum masa untuk berhenti berharap. Dan disana masih ada yang berdiam.

Mudah bukan kata yang sesuai menjaga sebuah kota. Yang imagini nya melebihi duniawi. Dia seperti manusia biasa yang berharap pada sebuah perubahan. kalaupun setiap masa yang ada ini singkat sangat tapi tidak akan sesingkat mana. kerana ia bukan pengakhiran. esoknya kalaupun masih ada kota yang kosong dan tak terjaga, itulah kota nya yang telah mati.

Saturday, November 8, 2014

Ribut di laut

Semalam kita belayar ke tengah laut, mencari bukti yang laut itu air. tapi hari ini kita tersesat sendiri hingga hanyut ke tengah tengah. sehingga kita lupa tujuan sebenar pelayaran. kita manusia yang bongkak menidakkan hukum. kita si pengait yang sibuk meluruskan benang hingga lupa menyiapkan walau sepasang baju. Kita ini si raja yang ingat pada manusia sedang lupa pada si Dia. dan kita masih manusia.

Malaikat semalam tersenyum di jendela. senyumnya indah. manis dan menawan. tapi sayang, senyumnya itu tidak dibalas manusia, kerana manusia sibuk meluruskan benang. entah sampai kemana benang yang hendak diluruskan. sampai ke langit atau turun ke lembah. bencinya tidak mampu lagi dibendung, mungkin kerana itu ada ribut di laut.

esok akan datang lagi matahari. dan malaikat akan terus tersenyum untuk esok.

Sunday, November 2, 2014

Tanah Lapang

Tanah lapang yang kita pijak ini bukan milik kita tapi milik orang yang punya kuasa. Orang orang yang ditakdirkan untuk punya kuasa di dunia dan menjadi raja di mata manusia. Kita ini apalah punya hanya hati kosong dan sebidang tanah yang lapang. Esok lusa tanah ini akan terjual atau tidak pun dinaiki lelalang dan senduduk. Dunia ini bukanlah milik orang-orang yang bisu dan pekak yang menjadi hamba si pendengar dan punya cakap cakap. dan kemudian menjadi kapal yang hanyut di tengah laut laut yang isinya adalah wang.

Tanah ini yang kita jejak bukanlah seindah hijau rumput atau secoklat dedahan humus yang jatuh tertumus menyembah bumi tapi seperti awan awan yang gerhana dek sayap burung bernama cita cita. Kadang kadang cahaya nya menghapus segala kuasa magis dalam imaginasi lampau. Kadang kadang menjadi sisa sisa setiap jiwa yang meronta mengharap pembebasan. pembebasan dari sangkar ilusi.  tidak wujud tapi nyata.

Tanah ini luasnya sangat jauh dan besarnya sangat lebar. Sehingga tiada mata yang mampu melihat lagi. Sehinggakan sayap si dewa itu patah berharap semoga jarak mu ini di singkatkan. Di tanah lapang ini, sayup sayup kita mendengar doa doa si pendosa supaya dosanya diampunkan dan waktunya dipanjangkan. Di satu sudut tanah ini kita melihat si pencari jalan dan lorong untuk menerobos ke seberang sedangkan dia tersilap jalan kerana luasnya tanah lapang ini. Sementelah tanah lapang ini masih luas untuk diteroka dan untuk teruja. 

Esok kita akan meneroka lagi tanah lapang ini dengan parang dan belati. Kalau kalau ada musuh yang mencabar dan gaduh yang tidak sabar. Hakikatnya kita sendiri takut kalau kalau kita tersesat dalam tanah lapang ini. Kita tidak lagi mampu keluar dari tanah ini yang talinya disangkut pada langit dan kita hanya patung patung kayu buatan orang biasa. Tanah lapang ini sentiasa berbisik dan mengarah.

Dan Tanah Lapang ini ialah hati.

Tuesday, October 28, 2014

Sepenuh Jiwa

Orang yang berjaya itu melakukan sesuatu dengan sepenuh jiwa mereka yakni siang malam benda yang mereka lakukan itu akan diingati semasa meraka makan tidur mandi dan bercakap. Itulah benda yang melengkapi hidup mereka sekian lama. Kita orang biasa kebanyakannya melakukan sesuatu mengikut keadaan dimana kita kalau bersama kawan kawan kita akan bercakap tentang benda yang mereka sukai dan lama kelamaan kita menjadi seperti meraka dan tiadalah lagi rasa berbeza dan istimewa. Seharusnya untuk berjaya kita harus menjadikan apa yang kita buat menjadi sebahagian dari hidup kita. 

Orang yang hebat itu menjadikan nafas mereka adalah sebahagian dari subjek atau tajuk apa yang mereka buat. Setiap orang yang berjaya itu melakukan sesuatu dengan penuh semangat dan bertenaga dan selalu tersenyum ketika cabaran menerpa mereka. Orang yang hebat itu akan merasa seronok apabila cabaran hebat itu menolak mereka ke belakang sedang mereka semakin kuat seperti pohon yang menahan kuatnya ribut. Orang orang inilah yang dijanjikan hidup yang indah dan berjaya. Orang orang ini akan suatu hari berdiri di kalangan manusia manusia lain yang mana mereka tahu, mereka selangkah dari manusia biasa.

Untuk menjadi hebat, jadikanlah apa yang kita buat itu separuh dari jiwa kita dan hidup mati kita adalah untuk subjek itu. Jadilah yang hebat.


Saturday, October 18, 2014

pelarian masa

Situasinya kita sedang seronok berlari mengejar sesuatu benda yang kita tak pasti apakah ia. Sedang benda itu kadang kadang kita rasa cukup mahukannya tapi kita sebenarnya tidak perlukannya. Dan kadang kadang kita rasa yang kalau kita tidak berlari dan hanya berjalan pun, kita akan tetap mendapatkanya. sama seperti apa yang telah ditakdirkan untuk kita. Atau aku mungkin tersilap.

Suatu dari kita kau aku adalah pelarian. Pelarian masa silam dan pelarian masa hadapan, Kita hidup di dalam ruang lingkup masa yang sempit dan menyempit dari saat ke saat. Kita adalah pelarian yang mencari masa hadapan dalam suatu pengertian yang punyai erti. lebih. Kita sedang berlari dari masa silam kita yang punyai dua ruang lingkup, pertama masa dimana keputusan di tangan kita dan kedua masa dimana keputusan di tangan takdir. Sejak kita matang sehingga kini, kitalah yang membuat keputusan dan kita pelarian masa itu. Dan dari kita zaman kanak kanak hingga ke belakang, sebelum kejadian, hidup kita di tangan takdir. dan apa yang ada dimasa ini bukan kuasa kita. 

Masa ruang lingkup pertama begini, kita terlalu perit dihambat masa. Dengan segala silap perancangan, atau mungkin kita tidak punyai perancangan langsung, kita memilih untuk berada di kalangan mereka yang gagal, atau gagal dalam satu sudut. dan kehidupan punya banyak sudut. Sesetengah orang menilai sesuatu melalui satu sudut. sudut pemikiran yang mana mereka tahu mereka betul, padahal sudut itu iaitu sudut pandangan mereka, kalau mereka sedar atau tidak, sudut itu ruang itu semakin mengembang dan membesar. oleh itu, pemikiran baru diterjemah dan keputusan baru diperoleh berdasarkan ruang yang baru. kerana itu kadang kadang, A yang kita punyai hari ini, mungkin tidak lagi menjadi A yang akan datang. Kerana sudut pemikiran manusia semakin berubah. Namun agama tidak berubah, secara total. Agama adalah seperti paku yang ditekan pada suatu kain di dinding yang sangat luas, supaya kain itu tidak jatuh dan tidak terbang jauh, dan kain itu adalah pemikiran. Tapi manusia yang sombong telah membuang paku tersebut dan pemikiran mereka seolah olah menerima apa sahaja.

Berfikirlah seperti orang yang terdahulu, punyai istana ilmu yang luas dan tinggi dalam kehidupan yang kita sebut sebagai pelarian masa.



Saturday, October 11, 2014

Tanah Tinggi

Seekor burung yang terbang di langit tidak akan tahu dia terbang tinggi sehingga dia kenal tanah di bumi, kerana dia sedar bahawa ada yang lebih tinggi dari langit. Dan ia tidak akan tahu cantiknya gambaran bumi dari langit jika dia tidak berani terbang tinggi. Seekor burung yang terbang bebas di langit tidak akan menghargai kebebasan yang dia peroleh jika dia tidak tahu peritnya berada di dalam sangkar.

Aku tidaklah mahu hidup dalam sangkar yang penuh dengan pendustaan dan kejelekan pada sebuah kebenaran. Walau kadang kadang ada juga yang terlepas ke langit. Namun cita cita itu tetap ada.

Kenapa kadang kadang kita rasa seolah olah didustakan oleh keadaan bahawa yang berjaya itu dilahirkan untuk berjaya dan yang miskin itu dilahirkan untuk miskin sedang kalau takdir itu ditentukan oleh Tuhan dan bukan manusia. Mana yang kita tahu bahawa kita layak untuk takdir sebegitu sehingga lupa yang doa dan usaha boleh mengubah takdir. Esok ini aku ditakdirkan untuk bangun di pagi hari menghirup udara segar dan nyaman merasa enaknya kopi dan roti. Namun malam ini takdir aku berubah kerana aku akan mati beberapa jam lagi. bagaimana takdir yang pertama akan mengatasi takdir yang kedua sedang takdir yang kedua secara hakikatnya mengatasi yang pertama. takdir sangat tergerak dengan sangat misteri kerana Takdir itu hak Tuhan bukan manusia, kalau sekalipun manusia berusaha untuk berada tinggi di tengah gunung, jika takdir dia hanya bersila di lembah, dia tetap akan ke lembah. Kita manusia ditakdirkan untuk GAGAL jika tidak berusaha. Tiada siapa yang boleh berjaya tanpa usaha. Itu fakta. Tiada otak yang berani menidakkan hal ini. Kalau doa itu satu usaha bermakna, manusia itu sendiri yang menentukan takdir mereka. Dan Tuhan hanya memberi kepada mereka yang berusaha. Layak berusaha.

Kita berdiri di satu dataran yang sangat tinggi dan luas. Tujuh warna langit yang bergemerlapan sedang menanti kita di hujung sana. dengan setiap helai helai sutera yang lembut dan sangat bersih menanti disetiap lapis. tiada yang setanding nya. Kita sedang bertahan dengan satu hakikat yang usaha bersungguh akan membawa kita jauh. Dan kalaupun kita dijadikan untuk menjadi sial, Tuhan itu maha Pengampun dan Pengasih pada makhluk sehina manusia. Yakinlah aku.

Sedang kita masih menghirup udara yang membinasa dan cahaya yang membutakan. Dia tahu.