Saturday, October 26, 2013

Dah Hilang

dah hilang segala macam kenangan.

kenangan buat rumah atas pokok. guna kayu kayu dan besi terpakai. buat bumbung dengan plastik beras. buat bekas basuh tangan dengan botol air. dah hilang.

dah hilang kenangan mandi air parit depan rumah. bersama abang dan adik. main bola dalam air. pusing pusing kampung sampai penat, kemudian mandi parit lagi. dah hilang.

dah hilang kenangan pergi tangkap ikan di bendang dengan kawan kawan. dah hilang serkup besi dan kayu. dah hilang segala rasa bawa pulang ikan darat seguni. bawak balik jadi lauk makan malam. dah hilang kenangan kutip siput di sawah selepas musim menuai padi. dah hilang rasa takut mengikut mesin padi.

dah hilang segala kenangan masak kuih cekodok dan cik mek molek untuk mek dan ayah pada petang hari. bawa sebagai bekal ke bendang. buat isi perut di tengah perit matahari. dan hilang rasa terpijak ekor ular di tengah sawah. dah hilang kenangan terjumpa telur itik selonggok di tengah sawah. dah hilang kenangan itu.

dah hilang kenangan bermain mercun sebelum pergi solat terawih. dah hilang rasa cemas dan takut perang mercun antara dua kampung. dah hilang segala ilmu membuat meriam buluh. dah hilang segala macam nama nama mercun yang tak selalu dengar sekarang. dah hilang mercun katak, mercun papan, mercun mancis, mercun bola mercun jet bunga api.dah hilang.

dah hilang rasa melihat orang tuai padi malam malam. dah hilang rasa tunggu mereka siap menuai supaya aku dapat tidur lena. dah hilang rasa melihat mesin padi pada waktu malam. dah hilang rasa rugi kerana tak dapat menangkap ikan di bendang waktu malam.

dah hilang rasa buat kereta mainan dengan enjin dan bateri. dah hilang rasa gembira bila melihat kereta tu bergerak dengan sangat laju. dah hilang rasa buat roket air dengan botol mineral. dah hilang rasa sambung botol mineral sampai panjang tapi roket tak naik.

dah hilang segala rasa bina kubu perang dalam sawah padi. menyusup masuk dalam sawah pak manaf. dah hilang rasa bawah nasik dalam pinggan dan makan dalam kubu sawah. makan bawah tengah terik matahari.

dah hilang rasa bagaimana mandi mandi di KADA. makan buah rambutan langsat dan duku. dah hilang rasa semua tu. dah hilang rasa segala macam rasa.

aku rindu rasa rasa itu. aku rindu.



Friday, October 25, 2013

bersyukurlah walau perit

Manusia selalu rasa tidak cukup dengan kehidupan dan dengan apa yang mereka ada. itu sifat kita. memang itu sifat kita yang telah dijadikan. manusia bila melihat kesenangan orang kita akan rasa diri kita kurang dan lemah, kerdil dan hina. manusia bila melihat keluarga luangkan masa dengan mereka, punya masa dengan mereka, sanggup bersusah payah untuk mereka, kita rasa lemah dan kurang kerna kita tidak dapat seumpama itu. kita manusia sangat lemah untuk melihat sesuatu dalam ruang lingkup yang lebih besar. kerana itu kita kecilkan pandangan kita, kita tutup segala kemungkinan.kita hadkan pemikiran dan menjadi manusia yang sukar merasa cukup dengan kurniaan Tuhan.

Kita manusia selalu pertikaikan dengan nikmat yang diberikan kerana dalam minda kita kita mahu menjadi sempurna seperti manusia lain.kita lupa bahawa segala nikmat yang kita kecapi tidak mungkin pernah dikecapi oleh orang lain. kita lupa bahawa nikmat yang kita pertikaikan itu sebenarnya adalah ujian kepada kita untuk menilai pada tahap mana kesyukuran kita. Kita lupa yang orang di sekeliling kita masih menangis untuk mengecap nikmat yang kita abaikan. Malahan kita pertikaikan tindakan Tuhan yang menyekat nikmat yang kita mahukan. Hati kita telah ditutup dan dikurung dalam sangkar ketidakpuasan hati sehingga kita tidak bebas untuk berfikir menggunakan sepenuhnya nikmat yang dikurniakan.

Kita manusia yang jarang sekali merasa cukup dan puas dengan sesuatu.

Bersyukurlah dengan apa yang ada.ramai lagi manusia di luar sana yang tidak dapat apa yang mereka mahu. bersyukurlah supaya segala nikmat yang kita inginkan akan datang kepada kita. Kita manusia yang lemah untuk melihat segala nikmat itu. kita manusia yang lemah.

Terima kasih Ya Allah.


Saturday, October 12, 2013

Mencari jalan di terowong

bila aku terlihat si miskin yang meminta sedekah dari yang kaya apa yang aku fikir adalah bagaimana kuasa wang meletakkan manusia sehina hina dan setinggi tinggi kedudukan. bagaimana anak cucu dipertaruhkan nasibnya atas sekeping kertas bergelar duit. seorang kawan menjadi musuh kepada kawan yang lain kerana kertas. seorang anak menjadi pembunuh insan yang melahirkan nya hanya kerana sekeping kertas.

Manusia menciptakan satu sistem yang mudah kepada manusia yang lain dengan menjadikan kaya berada di atas yang miskin. hidup untuk mengejar dan dikejar. untung sabut timbul untung batu tenggelam. aku sangat lelah dengan hidup untuk mengejar. kerna betul atau salah apa yang kita kejar, siapa yang pasti, walhal kita tahu kita harus mengejar. kerana penghujung nya pasti ada disana.

mencari sebuah jalan di lorong yang gelap. tiada cahaya tiada rupa. pelesit mimpi yang tiba tiba datang menerobos hilang. katanya takut dengan kegelapan. lalu ia tertidur. senyap dan diam. elok saja dibunuh segala mimpi bukan hidup untuk apa. enak juga bermimpi di siang hari. elok juga bermimpi di siang hari. kekadang lemas juga ya dengan kepanasan. kekadang lemas juga dengan kesejukan.

terus mencari jalan di terowong hingga penghujung.




Friday, October 11, 2013

kehidupan bagai tasik

aku dalam proses mencari diri. yang terkadang sesaat aku lupa aku siapa. sesat. aku bersyukur aku lupa aku siapa. banyak masa dibazirkan. banyak ruang terisi dengan kertas kertas yang kosong dan tidak tercatat. bergumpal menjadi bulat. terisi dengan padat dan tanpa udara. lemas.

malam aku didatangi oleh makhluk besar hitam dan pekat. rupa tiada berjalan bagai malaikat neraka. dua tiga empat bilangan bertambah belum sempat aku bernafas. 

kehidupan seperti sebuah tasik, aku andaikan aku seperti tasik yang cetek dan kotor. ada pepohon yang rendang dan subur tinggi dan berisi di depan dan kiri aku. tapi mereka hanya menambahkan kekotoran dalam tasik. berkawan dengan mereka seumpama memakan jasad sendiri. aku tahu.

jaga jaga manusia. manusia disekelilingmu akan sentiasa ingin melihat kau jatuh terperosok hingga hilang harapan lagi.

hilang harapan lagi.

Wednesday, October 9, 2013

Tuhan dalam diri.

kita selalu berubah dari satu jasad ke jasad.dari hati ke hati. kita selalu melompat dari satu masalah ke satu masalah. terkadang kita lelah dan berhenti berehat. terkadang kita teruja dan meneruskan hidup bersama harapan. kemudian kita sedar bahawa harapan itu hanyalah masih harapan.

kehidupan seperti dalam sebuah bilik gelap.

kita berehat lagi sehingga waktu tengah hari menjengah. kemudian kita sedar bahawa kita telah terlewat. jauh dari realiti masuk ke dunia lain. dunia keseorangan. kesepian dan penuh tanda tanya. yang ada hanya harapan tadi yang sudah tinggal bekas. sedikit sedikit dan harapan itu pun turut hilang meninggalkan kita. di dinding kita lihat hitam kelam dengan warna yang sekata.tiada beza corak dan tiada beza pastel warna. semua hitam kelam. kita sunyi dan tidak mampu buat apa apa. hanya duduk dan memandang sekeliling. siapa kawan siapa lawan. semua hanya dinding dan lantai.

masa tu kita sedar Tuhan hanya kawan yang terbaik. Tuhan dalam diri kita.